Pendidikan Awal Kanak-kanak Bentuk Perkembangan Generasi Berdaya Saing, Akhlak Mulia – Khaidhirah
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berpandangan pendidikan awal kanak-kanak amat penting bagi memberikan perkembangan pemikiran sebagai persiapan ke peringkat persekolahan sebenar.
Katanya menerusi hantaran Facebook beliau yang berkongsi kehadirannya ke Majlis Apresiasi Tabika KEMAS DUN Rim bagi sesi 2024/2025.
“Majlis ini adalah penghargaan kepada anak-anak kita yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang sepanjang tahun, serta dedikasi para guru dan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan terbaik.
“Melalui pendidikan awal seperti ini, kita yakin anak-anak akan terus berkembang menjadi generasi yang berdaya saing dan berakhlak mulia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Khaidhirah dalam pada itu turut sama merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis ini sambil berharap pencapaian kanak-kanak ini menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih gemilang untuk mereka.
Sementara itu menerusi hantaran terdahulu, beliau turut sama memaklumkan kehadirannya pada Program Town Hall YAB Ketua Menteri Melaka bersama Mahasiswa Universiti Islam Melaka (UNIMEL) sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kuala Linggi.
Beliau dalam pada itu berkata program seumpama ini amat penting sebagai jambatan di antara pemimpin dan rakyat.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman; ADUN Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah; ADUN Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin dan Senator Datuk Mustafa Musa. – UMNO Online