Usaha Pemantapan Kesihatan Mental Melalui Program Psikologi Dilaksana – Dr Masliha
KUALA LUMPUR, 16 Jan – Sekretariat Wanita Profesional, dengan kerjasama Wanita UMNO Bahagian Sungai Buloh dan Pusat Psikologi JiwaDamai, telah menganjurkan Program Bual Bicara Psikologi dan Literasi Kesihatan Mental, baru-baru ini.
Ketuanya, Dr Masliha Harun berkata program ini berjaya mengumpulkan lebih 100 pemimpin wanita cawangan di Parlimen Sungai Buloh, menjadikannya satu inisiatif penting dalam memupuk kesedaran kesihatan mental dalam kalangan pemimpin masyarakat.
“Program ini menampilkan dua pakar dalam bidang masing-masing, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Psikologi JiwaDamai, Dr Hasnor Safwan dan Aktivis Kesihatan Mental (Clinical Psychologist) Hamizah Hisamuddin yang berkongsi ilmu serta teknik dalam menangani tekanan dan meningkatkan kesejahteraan mental.
“Pemimpin masyarakat memainkan peranan penting dalam membentuk pandangan umum, memberi sokongan kepada komuniti, serta menjadi contoh kepada orang ramai. Oleh itu, memperkasakan kesihatan mental pemimpin adalah langkah penting ke arah membina masyarakat yang lebih sejahtera, tangkas dan empati.
“Selain sesi bual bicara, peserta turut menjalani Ujian Saringan Minda Sihat (DASS) yang bertujuan mengukur tahap tekanan individu dan memberikan gambaran awal tentang kesihatan mental mereka,” katanya pada Program Bual Bicara Psikologi dan Literasi Kesihatan Mental, Parlimen Sungai Buloh.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dengan dihadiri Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Buloh yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Selangor, Datuk Halimaton Saadiah.
Ujarnya, Bahagian Sungai Buloh menjadi model pertama program ini yang dijangka akan diperluaskan ke bahagian-bahagian lain di seluruh Selangor.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Wanita UMNO Malaysia dalam memastikan kesedaran kesihatan mental menjadi agenda utama di setiap peringkat komuniti.”
Pada masa yang sama Dr Masliha Harun yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia menzahirkan penghargaan kepada semua pihak dan juga peserta yang hadir.
“Sekretariat Wanita Profesional mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Psikologi JiwaDamai, barisan panelis serta semua peserta yang hadir.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa kesejahteraan mental bukan lagi isu pinggiran, tetapi keutamaan dalam membina komuniti yang lebih baik dan mampan,” jelasnya.
Ujarnya, diharapkan program ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha mempromosikan literasi kesihatan mental, menjadikan masyarakat Selangor lebih peka dan bersedia menghadapi cabaran psikologi masa kini. – UMNO Online