Kerajaan Negeri Melaka Komited Bantu Rakyat Miliki Rumah Mampu Milik – Rais Yasin
MELAKA, 15 Jan – Dalam usaha membantu rakyat memiliki kediaman selesa dan mampu milik, Kerajaan Negeri Melaka bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah mengadakan Majlis Taklimat dan Penyerahan Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2025 di Pejabat SPNB, Taman 1Lagenda, di sini baru-baru ini.
Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin memaklumkan bahawa Program ini bertujuan memperkukuh usaha kerajaan dalam menyediakan kediaman berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah, di samping menjelaskan mekanisme pelaksanaan projek RMR kepada penerima yang layak.
Beliau menekankan bahawa inisiatif ini merupakan langkah strategik yang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pemaju perumahan bagi merealisasikan aspirasi rakyat untuk memiliki rumah sendiri.
“Kerajaan Negeri Melaka sentiasa berusaha memastikan rakyat mendapat akses kepada rumah mampu milik dan berkualiti. Program ini diharapkan dapat membawa manfaat besar kepada rakyat, seterusnya meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Jelas beliau, sebagai sebahagian daripada komitmen ini, surat tawaran RMR 2025 telah diserahkan kepada pemohon dari enam kawasan Parlimen iaitu Jasin, Alor Gajah, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka, Masjid Tanah, dan Tangga Batu, melibatkan dua unit rumah bagi setiap kawasan.
Dalam masa yang sama, penyerahan replika kunci kepada pemohon RMR 2024 turut diadakan dengan jumlah dan pembahagian unit yang sama mengikut kawasan Parlimen.
“Dengan sokongan pelbagai pihak, Kerajaan Negeri Melaka berharap program ini dapat menjadi pemangkin kepada kehidupan lebih sejahtera bagi seluruh rakyat negeri ini.”
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah CEO SPNB, Mohd Jamil Idris, CEO Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk Murad Husin, dan Pengarah SPNB Negeri Melaka, Khairul Azhar Abdullah. – UMNO Online