UMNO Lahad Datu Perkukuh Hubungan dengan Rakyat Melalui Program ‘Ziarah Saling Mengasihi’

LAHAD DATU, 15 Jan – UMNO mencerminkan komitmen untuk terus bersama rakyat dengan cakna dalam menjalankan tanggungjawab sosial serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul bersama Timbalan Ketua UMNO Bahagian,Saleha Abd Wahid serta barisan Ahli Jawatankuasanya meneruskan inisiatif kemasyarakatan melalui program bulanan ‘Ziarah Saling Mengasihi’.

Jelas Sharif Musa, menerusi program ini, mereka menyantuni golongan yang kehilangan orang tersayang serta para asnaf yang memerlukan bantuan dengan menyalurkan bantuan berupa bakul makanan dan wang tunai bagi meringankan beban kehidupan harian penerima.

“Alhamdulillah, bantuan ini diharap dapat memberikan sedikit kelegaan kepada para penerima. Kami sentiasa mendoakan agar mereka dimurahkan rezeki dan diberikan kekuatan menghadapi ujian.

“UMNO Bahagian Lahad Datu akan terus bersama rakyat dalam apa jua keadaan, insya-Allah,” kata Sharif Musa.

Menurut beliau, program seperti ini adalah sebahagian daripada usaha UMNO Bahagian Lahad Datu untuk sentiasa dekat dengan masyarakat dan menjadi penyokong setia dalam saat suka dan duka.

“Kami bersyukur kerana dapat melaksanakan tanggungjawab ini. Semoga bantuan kecil ini dapat meringankan beban penerima dan memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang memerlukan.

“Kami ingin memastikan setiap individu di Lahad Datu tidak merasa terpinggir. Ini adalah tanggungjawab sosial yang kami pikul dengan penuh kesedaran bahawa kebajikan rakyat merupakan keutamaan kami. Bantuan ini mungkin kecil, tetapi kami berharap ia dapat membawa makna besar kepada mereka yang memerlukan.”

Jelasnya, barisan kepimpinan UMNO Bahagian Lahad Datu juga sentiasa membuka ruang kepada masyarakat untuk menyuarakan pandangan serta keperluan mereka melalui pelbagai saluran komunikasi yang disediakan.

“Dengan semangat kebersamaan dan keikhlasan dalam memberikan khidmat, UMNO Bahagian Lahad Datu akan terus berusaha memperkukuhkan peranannya sebagai parti yang dekat dengan rakyat.

“Kami percaya bahawa keprihatinan terhadap rakyat bukan sahaja mencerminkan nilai teras parti tetapi juga asas kepada kestabilan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit