2025: Agenda Reformasi Perundangan, Institusi Dirancakkan Demi Kesejahteraan Rakyat – Azalina

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Agenda reformasi perundangan dan institusi akan dirancakkan demi kesejahteraan rakyat, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia memaklumkan bahawa beliau telah merasmikan ‘Political Financing International Conference 2025’ pada Selasa.

“Tahun 2025 bakal menyaksikan pelaksanaan agenda reformasi perundangan dan institusi dirancakkan bagi manfaat negara demi kesejahteraan rakyat.

“Memulakan momentum positif tersebut, saya telah merasmikan Political Financing International Conference 2025: ‘Conference on Prospects, Challenges and Opportunities for Political Financing Reform in Malaysia’ anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dengan kerjasama The Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS),” katanya.

Menurutnya, persidangan tersebut merupakan bukti kepada komitmen teguh Kerajaan Perpaduan melaksanakan reformasi dalam pembiayaan politik untuk mewujudkan sistem demokrasi yang telus.

“Persidangan ini merupakan manifestasi komitmen utuh Kerajaan Madani melaksanakan reformasi pembiayaan politik yang sangat diperlukan oleh Malaysia dalam mewujudkan sistem demokrasi telus, saksama dan berintegriti untuk meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap institusi politik negara.

“Kira-kira 80 jemputan yang terdiri daripada beberapa orang Ahli Parlimen yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi, Kumpulan Parlimen Rentas Parti, pemimpin parti-parti politik, pakar pendanaan politik antarabangsa, wakil dewan perniagaan, sektor swasta, pembuat dasar, penjawat awam, ahli akademik dan organisasi masyarakat sivil telah menyertai forum ini.

“Semua amalan terbaik, pandangan, cadangan dan input daripada forum ini akan digunakan dan dijadikan asas dalam merangka Rang Undang-Undang Pendanaan Politik yang direncanakan untuk dibentang di Parlimen kelak Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit