Salah Guna Logo Timbul Kekeliruan, Rosak Integriti Sistem Halal Negara – Mohamad Aswad
KUALA LUMPUR, 15 Jan – UMNOSiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan bahawa penyalahgunaan logo bakal menimbulkan kekeliruan dan merosakkan integriti sistem halal negara.
Pengerusinya, Mohamad Aswad Abdullah berkata, UMNOSiswa UKM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penjualan sandwich mengandungi ham di KK Mart Universiti Malaya (UM) yang tular baru-baru ini.
“Kami, UMNOSiswa UKM ingin mengeluarkan kenyataan tegas, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penjualan sandwich yang mengandungi ham (daging babi) di KK Mart UM yang menggunakan logo halal.
“Isu ini jelas menunjukkan penyalahgunaan logo halal yang boleh menimbulkan kekeliruan serta merosakkan integriti sistem sijil halal negara.
“Sebagai sebuah organisasi yang berpegang pada nilai kejujuran, keadilan, dan tanggungjawab sosial, kami menyeru agar pihak berkuasa segera menyiasat insiden ini dengan teliti dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, tindakan yang tegas perlu diambil terhadap pihak yang cuba memperdaya umat Islam dan merosakkan keharmonian dalam masyarakat majmuk.
“Penyalahgunaan logo halal tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam dan merosakkan reputasi serta kredibiliti pihak berkuasa yang mengeluarkan sijil halal.
“Kami memberikan amaran keras kepada pihak yang berkenaan untuk tidak mengambil mudah dalam soal sijil halal ini. Tindakan sebegini mencemarkan nama baik sektor perniagaan dan boleh menjejaskan keyakinan pengguna terhadap produk yang menggunakan logo halal.
“Kami mendesak agar tindakan yang tegas diambil terhadap pihak yang cuba memperdayakan umat Islam dan merosakkan keharmonian dalam masyarakat majmuk,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk memastikan ia tidak berulang lagi.
“Kami berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan yang menyeluruh terhadap kejadian ini dan mengambil tindakan tegas untuk memastikan tiada lagi pihak yang memperdayakan umat Islam dengan produk yang tidak halal.
“UMNOSiswa UKM berikrar untuk terus berjuang demi keadilan dan kepentingan rakyat, serta akan sentiasa menyokong segala usaha kerajaan untuk menegakkan integriti dan kebenaran,” katanya lagi.
Terdahulu, UMNO Online melaporkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak penjualan pek sandwich yang diragui halal di kedai serbaneka KK Mart cawangan UM.
Beliau berkata menambahkan lagi kekesalan apabila pek sandwich tersebut juga mempunyai logo halal.
Pada Isnin media melaporkan JAKIM mengesahkan produk ‘ham and cheese sandwich’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Bahagian Pengurusan Halal Jakim menerima banyak pertanyaan di media sosial berkenaan produk ‘ham and cheese sandwich’ yang diragui status halal.
Menurutnya, Jakim sudah melaksanakan pemeriksaan di lapangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Jumaat lalu. – UMNO Online