Kerjasama UMNO/BN Realistik, Strategik Depani Dinamika Politik – Ghulam
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Ghulam Muzaffar Ghulam Mustakim menyifatkan UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu realistik dalam menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu berkata ini kerana ia mempengaruhi bilangan kerusi yang akan ditandingi UMNO/BN.
“Kita kena faham dalam hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) sudah ditetapkan agenda dan naratif bahawa PRU16 mesti dalam kerajaan sedia ada.
“Sebab kena faham dan ambil tindakan yang lebih secara praktikal sekiranya mewujudkan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN) adakah kita akan mendapat balik kerusi-kerusi yang kita kalah dengan PN iaitu sebanyak 73 hingga 74 kerusi yang mana akan menjadi status quo bila kita bertanding dalam PRU16.
“Sebab pandangan saya secara teori dan politikal tak nampak Pas/PPBM akan beri kerusi-kerusi ini kepada kita pada PRU akan datang yang menyebabkan kita akan kekal 26 kerusi.
“Kalau kita nak juga kerusi yang dimiliki sekarang oleh pihak Pas/PPBM agak sukar untuk mereka menyerahkan dengan sukarela,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Bagaimanapun katanya, melihat kepada aspek yang lebih besar kerjasama dengan PH memberikan peluang lebih besar kepada UMNO/BN untuk bertanding di kerusi tradisi.
Menurut beliau ini kerana, parti-parti dalam PH mempunyai senarai kerusi mereka yang sudah tentunya tidak berlaku perebutan.
“Kalau tengok sisi lain iaitu bersama dengan PH kita ada peluang yang lebih besar maknanya kerusi-kerusi kita dambakan seperti 70 ataupun 75 kerusi yang ada peluang untuk menang.
“Kerusi-kerusi ini tak akan diganggu oleh parti-parti komponen PH sebab Dap sudah tentu akan bertanding di kawasan Cina, PKR sudah tentu bertanding di kawasan yang mempunyai komposisi pengundi yang berbilang bangsa yang ada di kawasan Parlimen masing-masing,” ujar beliau.
Katanya lagi, Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota merupakan sampel terbaik kepada kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang menyaksikan BN meraih majoriti yang lebih besar.
“Jangan memikirkan sesuatu benda yang kita buat sekarang tidak akan ada teori domino yang akan mengganggu dan juga mencalarkan peluang kita untuk kita raih kemenangan yang lebih bagus pada PRU16.
“Lihat template kita laksanakan di Mahkota yang mana sinerginya hubungan PH dan BN ini menampakkan peluang yang lebih baik dan kemenangan yang lebih cerah sekiranya kita bersama,” katanya lagi. – UMNO Online