Isu KK Mart: Pemuda UMNO Desak Tindakan Tegas Diambil
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak kerajaan dan agensi berwajib mengambil tindakan tegas terhadap Pasaraya KK Mart.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fikhran Hamsi Mohamad Fatmi menegaskan bahawa penjelasan perlu diberikan terhadap proses pemeriksaan dan pengesahan halal yang dilanggar oleh pihak Pasaraya KK Mart.
“Tindakan keras harus dikenakan untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang lagi. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh.
“Tindakan segera dan keras perlu diambil bagi melindungi kepentingan dan sensitiviti umat Islam di Malaysia. Tambahan pula, ini bukan kali pertama Pasaraya KK Mart terpalit dengan isu melibatkan sensitiviti agama.
“Sebelum ini, kita masih ingat isu penggunaan kalimah ‘Allah’ diletakkan pada stoking yang dijual di pasaraya ini. Kini, timbul pula isu logo halal palsu pada sandwich ham & cheese,” katanya kepada UMNO Online.
Fikhran Hamsi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kota Bharu menjelaskan isu ini timbul kerana wujudnya logo halal pada produk tersebut, walaupun sandwich tersebut mengandungi ‘ham’.
“Dalam kebanyakan situasi, ‘ham’ sering dikaitkan dengan daging babi, yang jelas haram bagi umat Islam. Persoalan yang timbul adalah bagaimana produk seperti ini boleh menggunakan logo ‘halal’ tanpa pengesahan yang sah.
“Ada pandangan yang menyatakan bahawa ‘ham’ dalam produk ini mungkin merujuk kepada chicken ham, beef ham, atau turkey ham. Namun, bagi umat Islam, adalah wajib untuk memastikan dan memperjelaskan bahawa ‘ham’ tersebut tidak bersumberkan bahan haram,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, kata Fikhran Hamsi lagi, pihak JAKIM telah mengesahkan bahawa produk sandwich ham & cheese yang dijual di Pasaraya KK Mart tersebut tidak pernah mendapat kelulusan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Persoalannya, katanya mengapa pihak Pasaraya KK Mart berani menggunakan logo halal pada produk ini tanpa kebenaran dan kelulusan JAKIM?
“Siapa yang bertanggungjawab memastikan produk ini mematuhi piawaian halal sebelum dipasarkan? Mengapa ada usaha untuk mempertahankan tindakan Pasaraya KK Mart ini, sedangkan jelas ia melibatkan isu yang amat sensitif kepada umat Islam?” soalnya lagi.
Terdahulu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh kecewa penjualan pek sandwich yang diragui halal di kedai serbaneka KK Mart cawangan Universiti Malaya (UM) yang mempunyai logo halal. – UMNO Online