Azalina Lawat Mangsa Banjir Di Pengerang, Salur Bantuan

PENGERANG, 13 Jan – Ketua Penerangan UMNO yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, melawat beberapa kawasan yang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan di sini.

Antara kawasan yang terjejas termasuklah di Teluk Ramunia, Bandar Penawar, dan Sungai Mas.

Dalam lawatan tersebut, Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi telah melawat tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk menyantuni 237 mangsa banjir.

Beliau turut menyampaikan bantuan berupa pek makanan, kit banjir, dan toto bagi memastikan keselesaan mangsa sepanjang berada di PPS tersebut.

“Saya juga telah meninjau beberapa kawasan yang berpotensi dinaiki air, termasuk Taman Penawar Harmoni dan kawasan sekitar Sungai Cemaran, untuk mengarahkan langkah segera bagi mengelakkan banjir berulang,” katanya.

Menurut beliau, keadaan banjir kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila paras air mulai surut.

“Insya-Allah, semua mangsa banjir dijangka dapat pulang ke kediaman masing-masing dalam tempoh satu atau dua hari lagi,” tambahnya.

Beliau turut menyeru penduduk agar bersabar dan terus berdoa agar keadaan kembali pulih.

Dalam masa yang sama, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pasukan jentera tempatan sedang giat melaksanakan langkah-langkah bagi menangani masalah banjir di kawasan ini.

“Keselamatan dan kesejahteraan penduduk adalah keutamaan kami, dan segala usaha akan dilakukan untuk mengurangkan impak bencana ini,” ujar Azalina lagi menerusi hantaran dalam laman Facebooknya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit