Kes Najib: Syukur Atas Keputusan Mahkamah, Kebenaran Akan Terserlah – Fakhruddin
KUALA LUMPUR, 10 Jan – Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menzahirkan rasa syukur atas perkembangan terkini dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.
Menurut beliau, keputusan 2-1 daripada tiga panel hakim yang membenarkan titah adendum memberikan harapan baharu kepada Najib dan para pendukung UMNO.
“Alhamdulillah keputusan ini memihak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak. Dengan adanya keputusan 2-1 daripada tiga panel hakim yang telah membenarkan titah adendum ini membolehkan lagi proses pembelaan ini dilaksanakan diperingkat Mahkamah Tinggi.
“Dengan adanya keputusan yang terbaru ini dapat memberi harapan yang lebih baik kepada keputusan yang sebelum ini tidak memihak kepada Najib Razak. Dengan ada bukti yang baru ini akan lebih memberikan harapan dan kelegaan untuk menjalani tahanan di rumah.
“Kita harap dengan adanya bukti dan banyak lagi perkara-perkara kebenaran akan terserlah serta membolehkan Najib Razak mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar juga berharap rakyat Pekan dan seluruh negara terus beri sokongan dan doa pada bekas Perdana Menteri ini.
“Kepada seluruh rakyat yang sayangkan Najib Razak iaitu seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negara maka marilah kita banyakkan berdoa untuk keselamatan dan kemudahan supaya beliau dapat diberikan layanan yang sewajarnya.
“Selaku Ketua UMNO Bahagian Pekan bersama-sama dengan rakyat Pekan sentiasa memberikan sokongan dan doa kepada Najib Razak serta mengharapkan pembebasan dan semuanya merindui beliau,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, beliau juga berharap agar proses tersebut melalui saluran undang-undang seperti biasa.
“Ia dapat memberikan kelegaan pada semua pihak dan memastikan negeri dan negara berada dalam keadaan yang baik dengan apa yang berlaku melalui proses-proses dan saluran undang-undang seperti biasa,” ujarnya.
Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.
Titah Adendum itu akan membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dan pengurusan kes ditetapkan pada 13 Januari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur – UMNO Online