Terus Bersolidariti Depani Fasa Kebangkitan UMNO, Lalui Cabaran Dinamika Politik – Dr Azhar
KUALA LUMPUR, 13 Jan – Mendepani tahun baharu 2025 ini Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menyeru ahli parti untuk terus bersolidariti dalam memperkukuh UMNO seiring dinamika politik hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, ini kerana UMNO telah melalui pelbagai fasa dalam perjuangannya dan kini parti keramat ini perlu bangkit selepas melalui liku-liku cabaran.
Katanya ahli falsafah Islam lbnu Khaldun dalam buku Muqaddimah yang dihasilkannya 800 tahun lalu, memberikan peringatan bahawa setiap pentadbiran akan melalui lima fasa dalam memimpin sesebuah negara iaitu era kebangkitan, perluasan kuasa, kemewahan, kelalaian dan kejatuhan.
“Nilai tambahnya tidak ada yang lain iaitu bersolidariti… itu saja. Kita telah merasai zaman kebangkitan, kemajuan, kestabilan, kemewahan, kejatuhan seperti lima kitaran disebut Ibnu Khaldun.
“Sekarang ini kita nak kitar semula menjadi UMNO yang lebih hebat kebarangkalian boleh mendominasi sedikit. Jadi kalau 2018 kita kalah, 1957 tarikh kemerdekaan negara iaitu 61 tahun kitaran UMNO berkuasa.
“Sekarang ini kita nak kitar semula untuk menjadi sebuah parti yang dominan bergantung kepada asabiyah dalam kalangan ahli-ahli parti iaitu penawar kalau kita bersatu hati, ikhlas, muhasabah diri, sedar diri di mana kita bermula, maka proses itu akan berlaku cepat,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Dr Azhar malah berkata perpecahan dalam kalangan ahli tidak memberikan sebarang keuntungan kerana ia akan memperlahankan proses pemulihan.
“Kalau kita sering berantakan sesama sendiri, proses untuk remedi itu pastinya akan lambat.
“Jadi kita bersatu, bersetia, berkhidmat di bawah satu ketua iaitu presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujar beliau. – UMNO Online