‘UMNO Tidak Akan Masuk Kali Kedua Ke Lubang Biawak’ – Puad

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata ada usaha daripada Pas untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional 2.0 sebagai strategi membentuk kerajaan baharu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, ia dapat dilihat apabila Pas menggunakan solidariti Najib pada Isnin lalu seperti perhimpunan ICERD berulang kembali, kononnya menjadikan ia sebagai perhimpunan Melayu terancam.

“Pas dan PPBM kecewa UMNO membatalkan perhimpunan solidariti Najib. Niat mereka ialah menjadikannya sebagai perhimpunan Melayu terancam.

“Itu naratif yang mereka mahu mainkan. Mereka mahu kejayaan perhimpunan ICERD berulang. Ada usaha di pihak mereka untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional 2.0.

“Ia membuka jalan terbentuk kerajaan baru. Sebab itu secara tiba tiba mereka bernada lembut pasal isu Bossku,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mohd Puad berkata UMNO tidak akan mudah termakan dengan helah dibawa Pas selepas persefahaman dijalin sebelum ini terputus di tengah jalan.

“Sıla lupakan kalau itu objektif mereka kerana UMNO tidak akan masuk kali kedua ke lubang biawak. Pokoknya kamu “the loser,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit