Aura Najib Razak Masih Subur Di Hati Rakyat – Siti Aminah

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Siti Aminah Aching menegaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak adalah pemimpin yang paling banyak berjasa dalam memberikan pelbagai keperluan dan bantuan kepada rakyat serta negara.

Menurut beliau, jasa dan sumbangan beliau semasa memegang jawatan tertinggi dalam negara tidak boleh dinafikan begitu sahaja.

“Siapa yang tidak mengenali jasa budi Najib Razak adalah orang yang tidak kenang budi dan menidakkan apa yang telah dibuat semasa menjadi Perdana Menteri. Jasa Najib Razak tidak dapat dikira dari menjawat sebagai Menteri Besar Pahang sehingga ke Perdana Menteri.

“Saya yakin dan percaya kepada rakyat yang tidak kufur dengan nikmat, tidak kufur pada jasa yang telah dibuat oleh Najib Razak dan masih terpahat dihati rakyat.

“Saya melihat aura Najib Razak sentiasa subur, wangi dan indah dikalangan rakyat. Jasanya terlalu banyak semasa beliau menjawat jawatan sebagai peneraju negara iaitu Perdana Menteri,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut, Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata jasa paling dikenang rakyat Sabah adalah meluluskan jalan raya Pan Borneo, Urban Transformation Centre (UTC) dan banyak lagi.

“Yang paling dikenang oleh rakyat Sabah malah seluruh rakyat Malaysia adalah jasa beliau membawa dan memberikan kelulusan lebuhraya Pan Borneo. UTC juga diilhamkan oleh Najib Razak, ia adalah salah satu dari beribu ilham yang didirikan malah membantu dan memudahkan rakyat.

“Apabila beliau (Najib Razak) tidak dapat menjadi Perdana Menteri, apa yang dibuat oleh beliau hampir-hampir dihilangkan jasa yang telah dibawanya, tetapi Alhamdulillah… UTC sampai sekarang masih digunakan.

“Sebagai contoh, sekiranya hendak membuat pasport, kad pengenalan baru hanya lulus satu jam. Itulah dinamakan dipermudahkan apa saja urusan rakyat. Jadi apabila dipermudahkan rakyat menjadi senang, harmoni dan bahagia,” jelas beliau.

Tambah beliau, bukan itu saja malah Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia menjadi tempat tumpuan bagi rakyat serta membantu meringankan beban masyarakat.

“Klinik 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia mendapat sambutan hangat dan menjadi tempat tumpuan kerana ia memberikan perkhidmatan pada rakyat. Banyak jasa beliau telah ditidakkan kerana mahu melupakan jasanya dan itulah yang menyedihkan.

“Bukan itu saja malah beliau turut menjaga dan beri perhatian penuh pada penduduk-penduduk Felda,” ujarnya.

Pada masa yang sama Siti Aminah turut mengharapkan agar Najib Razak diberikan pengampunan sepenuhnya dan mendapat tahanan di rumah.

“Saya mengharapkan Najib Razak diberikan pengampunan sepenuhnya memandangkan kes yang dibangkit ini tidak cukup bukti untuk membicarakan beliau. Bukan saja pengampunan di rumah malah pengampunan sepenuhnya dan kita tidak boleh menafikan kewujudan adendum tersebut,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit