Perak Teruskan Program Jelajah Sejahtera DesaKu, Libatkan 17 DUN – Mohd Zolkafly
IPOH, 10 Jan – Exco Kerajaan Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata kerajaan negeri dan seluruh jabatan serta agensi berkaitan komited untuk menjadikan Program Jelajah Sejahtera DesaKu (JSD) lebih efektif dan bermakna pada tahun ini.
Kata Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan itu, ini rentetan kejayaan Program Jelajah Sejahtera DesaKu 2024 yang melibatkan 20 program di setiap daerah di negeri itu serta mendapat perhatian positif daripada Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Pada tahun 2025, Program JSD akan terus melibatkan 17 DUN serta penyertaan aktif badan bukan kerajaan (NGO) sepanjang tahun ini.
“…saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua urus setia Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan NGO atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan Program Jelajah Sejahtera DesaKu 2024.
“Terima kasih atas dedikasi dan sokongan anda semua,” kata Mohd Zolkafly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang merangkap Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput dalam satu catatan di laman Facebook.
Mohd Zolkafly juga melahirkan rasa syukur kerana telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Program Jelajah Sejahtera Desaku bagi tahun 2025, Khamis pagi di sini.
Untuk rekod, kerajaan negeri telah menganjurkan Program Jelajah Sejahtera DesaKu 2024 di 17 buah kampung melibatkan 17 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak bagi tahun lalu bermula di DUN Lintang pada Mei dan berakhir di DUN Kota Tampan pada Dis tahun lalu.
Selain Lintang dan Kota Tampan, antara DUN yang terlibat adalah seperti DUN Rungkup, Aulong, Sungkai, Behrang, Pasir Bedamar dan Ayer Kuning.
Dilaporkan, Saarani ketika menutup program di DUN Kota Tampan Dis lalu berkata program ini bermatlamat untuk mensejahterakan komuniti luar bandar melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta memastikan masyarakat desa tidak terpinggir daripada arus pembangunan negeri.
Tambahnya, Program Jelajah Sejahtera DesaKu memberi impak positif dengan membina komuniti desa yang lebih berdaya tahan, menyampaikan perkhidmatan kerajaan secara langsung dan memperkukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dan masyarakat luar bandar.
Ujarnya juga, pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Perak untuk terus mendekati dan menyantuni masyarakat luar bandar secara holistik, selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030. – UMNO ONLINE