Jangan Mudah Terpesona Helah Politik Pas, Suka Potong ‘Tang Kona’ – Dr Azhar
KUALA LUMPUR, 10 Jan – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berharap ahli UMNO dan rakyat untuk tidak mudah terpedaya dan terpesona dengan tindak-tanduk Pas yang seakan menyokong perjuangan untuk memberikan keadilan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata ini kerana Pas sengaja mahu menunggang isu adendum Najib demi kepentingan politik mereka, sedangkan ketika Najib sebagai Perdana Menteri pelbagai tohmahan dilemparkan mereka.
“Saya tidak rasa pelik dengan Pas kerana mereka adalah parti penipu, sudah tipu UMNO beberapa kali kerana terpersona dengan baca ayat Quran, hadith, kopiah dan sebagainya. Kita satu hari dalam waktu 24 jam kan? Tapi Pas lebih daripada itu kata Najib tak guna, jahat, penyamun, perosak negara, jual negara kena jatuhkan Najib kalau tak negara ni akan rosak dan lain-lain lagi.
“Pada masa itu satu patah perkataan Najib pun tidak sebut jasa dia. Semua Najib ini manusia yang paling jahat. Namun pada akhirnya, kerajaan pada masa itu yang terbaik pernah memimpin rakyat dan bangsa. Akhirnya rakyat persona dengan ratip Pas yang 30 jam sehari ini kemudiannya rakyat berbodong-bodong memberi sokongan kepada mereka dan mereka menang,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Mengulas lanjut Dr Azhar yang juga merupakan Ahli Dewan Negara berkata tiada isu jika Pas hadir ke Istana Kehakiman namun menambahkan persoalan apabila usai itu mereka mula mengeluarkan kenyataan tidak berasas serta menyindir pemimpin UMNO.
Katanya ia menambahkan asas bahawa tindakan Pas ke sana bukan tujuan yang baik sebaliknya mahu memecah belahkan sokongan orang Melayu dalam UMNO dengan memperlihatkan mereka sebagai simpati kepada Najib.
“Muncul adendum untuk menyemak semula kalau ada tafsir balik. Apa kaitan Pas dengan adendum itu? Kalau Pas datang dengan baik memberi sokongan moral tiada masalah. Tapi cuba tengok kenyataan daripada Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari kata siapa ayam, biawak. Keluar daripada mulut pemimpin Pas semua tidak ada satu pun menyeru kepada kebaikan semua menyeru kepada kerosakan di muka bumi Allah ni.
“Jadi mereka datang hari itu bukan datang untuk menyokong tapi datang untuk memecah belahkan perpaduan umat, perpaduan ahli UMNO yang mereka nak jadi hero, mereka nak potong tang kona, nak tunjuk kepada orang Melayu yang masih tidak tahu apa ni, mereka hero, mereka menyokong keadilan.
“Kononnya mereka lebih UMNO daripada UMNO, lebih Melayu daripada Melayu, lebih Islam daripada Islam untuk berharap sokongan Melayu beralih kepada mereka. Sedangkan Pas parti yang tidak ada langsung prinsip melacur semua perkara asalkan mendapat keuntungan politik,” ujar beliau.
Terdahulu, pada Isnin Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum Januari tahun lalu.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu. – UMNO Online