Reformasi Institusi: BHEUU Galas Tugas Sebaiknya, Main Peranan Penting – Azalina
KUALA LUMPUR, 9 Jan – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan para pegawai di Pejabat Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) untuk menggalas tanggungjawab dan menjalankan tugas sebaiknya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman Facebooknya berkata, BHEUU memainkan peranan penting untuk menentukan kewujudan sesebuah undang-undang.
“BHEUU memainkan peranan untuk menentukan undang-undang itu diwujudkan, ditafsirkan bagi membantu agensi-agensi berhadapan dengan undang-undang dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.
“Apa guna undang-undang kalau pelaksanaannya tak diterima oleh rakyat? Contohnya macam masalah Facebook, Twitter, online scam… jadi tuan-tuan dan puan-puan sebagai pegawai di BHEUU tidak boleh memandang kecil tugas serta tanggungjawab sebagai di bawah BHEUU,” katanya.
Menurutnya, BHEUU akan menukar landskap kepada bantuan guaman untuk memudahkan rakyat mendapat kapasiti bagi perlindungan dari segi undang-undang.
“Pentaksiran undang-undang yang akan kita wujudkan dan paling penting ialah pentaksiran perlembagaan yang kita bertanggungjawab untuk menentukan dilaksanakan supaya rakyat memahami elemen perlembagaan dalam negara.
“Kita akan menukar landskap kepada bantuan guaman sebab apa gunanya bercakap tentang undang-undang kalau rakyat tidak mempunyai kapasiti untuk mendapat perlindungan dari segi undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Azalina telah menghadiri mesyuarat retreat tahunan pemimpin Malaysia-Singapura sebelum ke Majlis Amanat Tahun 2025 anjuran BHEUU.
Pada majlis amanat tersebut, beliau telah mengimbau pencapaian Kluster Undang-Undang Dan Reformasi Institusi sepanjang 2024 dan memberikan gambaran halatuju untuk tahun 2025.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada warga di atas kerja keras dan usaha gigih mereka sepanjang tahun lalu di samping kata-kata semangat agar berasa bangga menjadi sebahagian daripada keluarga besar BHEUU. – UMNO Online