Keputusan Mahkamah Rayuan Permulaan… Kebenaran, Keadilan Akan Ditegakkan – Syed Mohd Johan
KUALA LUMPUR, 8 Jan – Keputusan Mahkamah Rayuan mengenai Titah Adendum berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanyalah sebagai permulaan kepada kebenaran dan keadilan yang bakal ditegakkan selepas ini.
Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, keputusan tersebut sudah jelas mematahkan persepsi segelintir pihak yang mengatakan bahawa titah tersebut hanya sekadar ‘hearsay’.
“Awal tahun ini, negara berkocak lagi memanaskan tahun 2025, memecah suasana pagi 6 Januari di Istana Kehakiman, Putrajaya. Mahkamah Rayuan telah membenarkan prosiding semakan kehakiman Datuk Seri Najib dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang telah diperkenankan pada tahun lepas.
“Jadi pada pandangan peribadi saya, keputusan Mahkamah Rayuan itu sudah cukup membuktikan bahawa Titah Adendum itu bukan ‘hearsay’ seperti yang dikatakan. Pendakwa raya gagal mempertikaikan kesahihan kewujudannya,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.
Menurutnya, kes Najib telah dipulangkan semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan dan beliau beranggapan bahawa kerajaan perlu melaksanakan titah tersebut.
“Jadi, kes ini akan dipulangkan semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan mengenai keabsahan pelaksanaan Titah Adendum tersebut. Maka secara logiknya, walaupun kita tak nampak surat itu secara ‘hard copy’, kita yakin titah itu memang wujud apabila Istana Pahang telah mengeluarkan satu surat yang telah dialamatkan kepada anak (Najib) Datuk Mohd Nizar Najib, mengesahkan kewujudan titah tersebut.
“Takkanlah kita nak katakan Istana Pahang berbohong pula di mahkamah? Kalau titah palsu, takkan Datuk Nizar sesuka hati bawa ke mahkamah? Kita orang Melayu pantang guna nama Raja-Raja Melayu sesuka hati. 13 Januari ini akan bermula prosiding tersebut di Mahkamah Tinggi. Saya yakin dan positif mengatakan bahawa kerajaan mesti melaksanakan Titah Adendum tersebut.
“Pada pendapat saya, apabila Titah Adendum itu disahkan wujud kelak, yang paling penting ialah Datuk Seri Najib perlu dilepaskan dari penjara dan dijadikan tahanan rumah. Itu titah yang sah dari sudut perlembagaan dan itu adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan akan memohon pengampunan penuh untuk mengembalikan semula Najib.
“Terbaru, Presiden kita memaklumkan bahawa beliau akan buat permohonan pengampunan penuh untuk sahabatnya, Datuk Seri Najib menerusi kenyataan media. Maksudnya, kita tidak hanya berpuas hati dengan tahanan rumah. UMNO secara keseluruhannya mahu Datuk Seri Najib bebas sepenuhnya, macam PMX (Perdana Menteri Kesepuluh). Boleh aktif seperti biasa… boleh bertanding pihak raya, macam PMX juga.
“Alhamdulillah, segalanya dah direncanakan oleh Allah. Ulama kata, doa orang yang dizalimi itu sangat mustajab. Saya yakin, Allah akan dedahkan kebenaran sebenarnya tak lama lagi.
“Keputusan Mahkamah Rayuan itu hanyalah permulaan ataupun ‘intro’. Kebenaran yang lebih besar akan terbongkar dan memberi keadilan sewajar untuk Datuk Seri Najib. Tahniah, Datuk Nizar. You fought hard and we will keep fighting for Datuk Seri Najib till justice revealed. Stay strong, Datuk Seri Najib, ‘Bossku’,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman