Komitmen 2025 KKR: Beri Khidmat Terbaik Untuk Manfaat Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata memasuki tahun 2025 ini Kementerian Kerja Raya (KKR) komited mahu memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook dan akaun X, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah mengadakan pertemuan bersama Menteri Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam, untuk membincangkan beberapa perkara bagi tahun ini selain apa yang telah dirancang.

“Kami komited memberi khidmat yang terbaik bagi manfaat #rakyat dengan cekap dan berkesan.

“Bantuan dan sifat proaktif pegawai dan agensi diperlukan,” kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu lagi.

Terdahulu, di dalam platform yang sama Ahmad juga berkongsi momen pertemuannya bersama Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Pengurusan KKR yang baharu Datuk Zainal Alhakab Seman.

Ujarnya, penjawat sebelum ini Datuk Sakeri Abdul Kadir telah beralih tugas ke TKSU Dasar dan Pembangunan manakala Datuk Zahrul Hakim Abdullah berpindah ke TKSU (Pengurusan) Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Selamat berkhidmat kepada tiga mereka ini,” kata Ahli Parlimen Pontian itu lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Ahmad turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat daripada pelbagai peringkat yang mengunjunginya.

Selain itu, semalam Ahmad juga hadir bersama kepimpinan negara ke Istiadat Sambutan Rasmi Perdana Menteri Singapura H.E. Lawrence Wong dan isteri di Dataran Perdana Putra Putrajaya.

“Moga hubungan antara kerajaan (Malaysia-Singapura), perniagaan dan antara rakyat bertambah erat,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit