Titah Adendum: Perjuangan Ahmad Zahid Membela Sahabat Sejatinya – Gulam Muszaffar
KUALA LUMPUR, 6 Jan – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menyifatkan perjuangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam membela nasib sahabat sejatinya, Datuk Seri Najib Razak telah berjaya.
Ini kerana katanya, Ahmad Zahid telah memperjudikan nasib politiknya apabila bertindak menyaman kerajaan dengan afidavit sokongan.
“Sebentar tadi di Mahkamah Rayuan, Peguambela Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shafee telah menunjukkan dan mengesahkan bahawa Titah Adendum yang diperoleh dari Istana Pahang adalah sah serta wujud kebenarannya.
“Di media sosial juga berlegar salinan surat dari Istana Pahang. Fasa teka-teki ada atau tidak Titah Adendum telah selesai.
“Pertaruhan Datuk Seri Zahid Hamidi (DSZH) yang memperjudikan nasib politiknya apabila menyaman kerajaan dengan afidavit sokongan telah berjaya. Jangan kata DSZH ‘tak payung’ dalam kes Titah Adendum ini. Ramai dikalangan ‘haters’ DSZH cuba menutup peranan penting yang dilakukan beliau,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu turut menzahirkan penghargaan buat Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang turut memainkan peranan beliau dalam isu berkenaan.
“Pelbagai kata nista, cemuhan dan kutukan dilemparkan kepada beliau. Tetapi, seperti biasa sikap DSZH yang sentiasa berserah kepada ALLAH SWT dan hari ini terbukti beliau benar. Malah, ‘geng-geng cencaru makan petang’ tumpang semangkuk dengan risiko dan hasil tindakan berani matinya. Dalam bahasa pasar, aku yang buka pintu korang yang masuk ramai-ramai.
“Bagi DSZH biarlah ramai diluar sana yang ‘claim’ dan curi kredit. Apa yang paling penting perjuangannya untuk sahabat sejatinya ‘Bossku’ terbela dan berjaya. ‘A true friend never apart maybe in distance but never in heart’.
“Tidak dilupakan juga Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy yang turut menjadi watak ke-2 penting dalam hal titah addendum ini. Akhir kata, manusia akan menilai kejayaan diakhirnya bukannya diawalnya. Itulah yang terjadi kepada DSZH tetapi ALLAH SWT Maha Mengetahui. Menang atau kalah bukan soalnya yang penting kebenaran terserlah buat dirinya. Amin,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.
Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan. – UMNO Online