Isu Najib: UMNO Pahang Sambut Baik Keputusan Mahkamah Rayuan, Seru Ahli Terus Bersatu Hati

KUANTAN, 6 Jan – Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang melahirkan rasa syukur dan menghargai keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datuk Seri Mohd Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman mengenai kesahihan kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 untuk beliau menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi tahanan di rumah.

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dalam kenyataannya, beliau menjunjung kasih kepada Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah yang telah memperakukan kewujudan dan kesahihan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 ketika baginda masih memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

“Keputusan ini memberikan harapan kepada Najib, keluarga beliau, serta seluruh pendukung perjuangan UMNO untuk terus menegakkan keadilan yang sewajarnya,” ujarnya.

Beliau turut merujuk kepada surat daripada Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari 2025 sebagai bukti bahawa afidavit yang dikemukakan oleh beliau dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, adalah berasas dan bukan sekadar khabar angin.

Wan Rosdy menegaskan bahawa UMNO komited untuk terus menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang serta menghormati proses kehakiman dan institusi diraja.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua ahli UMNO untuk kekal bersatu hati dan tidak membiarkan sebarang isu memecahbelahkan perpaduan parti. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit