UMNO Terus Perjuangkan Keadilan Untuk Najib – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Jan – UMNO menjunjung kasih Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang yang telah memperakukan Titah Addendum berkenaan penahanan dalam rumah (house arrest) Datuk Seri Najib Razak adalah wujud dan sahih.

Demikian kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Ujarnya, UMNO menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan akan terus memperjuangkan keadilan buat Najib.

Terdahulu perakuan kesahihan Titah Addendum ini telah dizahirkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.

Kata Ahmad Zahid, ini membuktikan kebenaran afidavit tambahan menyokong petisyen Najib yang telah dibuat oleh beliau dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli UMNO serta penyokong setia yang tidak pernah lelah memberikan sokongan dan doa sepanjang perjalanan ini.

“UMNO memohon ihsan, kebijaksanaan dan keadilan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh buat Dato’ Sri Najib selaras kuasa prerogatif Baginda di bawah peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit