Kerajaan Perpaduan Cerminan Pelbagai Kaum Dan Dinamika Politik Matang – Ahmad Tarmizi
KUALA LUMPUR, 16 Jan – Exco Pemuda UMNO, Ahmad Tarmizi Che Age menjelaskan keberkesanan gabungan Kerajaan Perpaduan dapat dilihat melalui kestabilan dan kemakmuran dalam negara.
Menurutnya, meskipun Kerajaan Perpaduan sering menjadi sasaran kritikan sengit daripada pihak pembangkang, ia tetap teguh melaksankan tanggungjawab demi memastikan kelangsungan pentadbiran yang stabil dan progresif.
“Keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus memperkukuhkan kerajaan gabungan ini adalah langkah strategik yang membawa manfaat. Ia bukan sahaja mengekalkan kestabilan politik malah berjaya mengelakkan senario politik tergantung.
“Kestabilan politik yang diwujudkan oleh gabungan ini bukan sahaja menjadi contoh pemerintahan yang matang malah memberikan manfaat besar kepada rakyat, termasuk dalam aspek pembangunan, ekonomi dan kebajikan sosial.
“Selain itu ia menjadi simbol perpaduan antara kaum sambil mengurangkan polarisasi politik yang kian meruncing. Walaupun terdiri daripada parti-parti dengan idealogi berbeza, gabungan ini membuktikan boleh dicapai melalui semangat toleransi dan kesepakatan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Mengulas lanjut, kata Tarmizi, kerjasama UMNO di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tidak akan menjurus kepada perpecahan akar umbi parti kerana selepas dua tahun dalam kerajaan dilihat lebih memahami dinamika politik Malaysia.
“Perpaduan yang ditunjukkan UMNO bersama kerajaan wajar diteruskan, ia memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat terutamanya untuk menarik pengundi yang tidak berpuas hati di kawasan majoriti Melayu,” katanya lagi. – UMNO Online