Pembangunan Eco Tourism Kampung Sungai Melayu Beri Impak Positif Industri Pelancongan Johor
KUALA LUMPUR, 31 Dis – Pembangunan Eco Tourism Kampung Sungai Melayu di Gelang Patah mampu memberi impak positif ekonomi khususnya kepada masyarakat setempat, ujar Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Ujar Mohd Jafni, sepertimana pengumuman Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini sempena Tahun Melawat Johor 2026, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif yang menjadi pemangkin dan pemacu kepada pembangunan industri pelancongan.
“Terdapat lima projek yang bakal dilaksanakan dan dijangka siap pada akhir tahun 2025 sebagaimana berikut, Projek Gerbang Salam (telah siap); Hentian Leluri; Jeti Awam Sungai Melayu; Jeti Nelayan; dan Titian Perepat dan Tanjung Tok Fattah.
“Pembangunan ini pastinya bukan sahaja sebagai salah satu daya tarik baru di Negeri Johor tetapi akan memberi impak positif kepada ekonomi setempat,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook, yang telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Projek Pembangunan Eco Tourism Kampung Sungai Melayu.
Mesyuarat ini turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad, Pegawai Daerah Johor Bahru Haji Nazir dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Datuk Haji Mohd Haffiz Haji Ahmad.
Hadir sama Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor Datin Paduka Dr. Hajah Suhailizan Suliman dan Pentadbir Tanah Johor Bahru Syed Norul Shahril Syed Nasir serta wakil agensi, kerajaan dan swasta yang berkaitan.
Tambah Mohd Jafni lagi, kerajaan negeri di bawah pimpinan Onn Hafiz sentiasa melihat secara holistik kesan pembangunan ini ke atas penduduk Kampung Sungai Melayu yang telah menetap di kampung tersebut selama lebih 30 tahun tidak tertinggal dan sentiasa diberi keutamaan. – UMNO ONLINE