Rancangan Tebatan Banjir Gambarkan Keprihatinan Kerajaan Negeri Melaka

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin berkata Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dilaksanakan di negeri berkenaan menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri di bawah teraju Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selaku Ketua Menteri negeri berkenaan.

Pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata status projek RTB di Bandar Jasin, Bandar Merlimau, Sungai Duyong dan Alor Gajah akan berjalan sepertimana yang dirancang.

“RTB Bandar Jasin dijangka siap pada 26 Ogos 2025 dengan kos RM35,353,818.20, manakala RTB Bandar Merlimau dijangka siap pada 20 Februari 2025 dengan kos RM17,146,764.26.

“Selain daripada itu RTB Sungai Duyong dijangka siap pada 14 Mac 2026 dengan kos RM117,000,000.00, dan RTB Alor Gajah pula dijangka siap pada 17 Ogos 2025 dengan kos RM17,015,000.00,” katanya.

Rais seterusnya menambah persidangan kali ini diharap dapat memberikan sesuatu yang amat bermanfaat untuk rakyat serta negeri berkenaan.

“Saya mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka kerana begitu cakna dan prihatin terhadap isu banjir demi manfaat rakyat.

“Semoga persidangan kali ini akan memantapkan lagi usaha murni pihak Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri untuk membangunkan Negeri Melaka ke arah kegemilangan dan kemakmuran,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit