Pemuda UMNO Mahu Najib Dapat Keadilan, Layanan Sewajarnya Di Sisi Undang-undang
KUALA LUMPUR, 31 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap proses keadilan terhadap Datuk Seri Najib Razak dijalankan dengan adil, tanpa sebarang campur tangan politik.
Exconya, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata mereka tidak teragak-agak untuk mempertahankan hak Najib untuk mendapat layanan yang sewajarnya di sisi undang-undang.
“Peguam Negara perlu berhenti mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat.
“Penting untuk difahami bahawa proses semakan kehakiman yang difailkan baru-baru ini bukanlah bertujuan untuk memohon pengampunan diraja, tetapi untuk meminta mahkamah mengiktiraf dan mengesahkan kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong berkenaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang dalam pada itu turut menyifatkan tidak salahnya untuk Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh secara terbuka bertanya kepada Peguam Negara tentang tindakan untuk mengiktiraf titah adendum tanpa melalui Lembaga Pengampunan.
“Kita perlu ingat bahawa pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dipertikaikan kerana tidak melalui Lembaga Pengampunan yang lengkap kerana ketika itu Peguam Negara sedang dicutikan dan Menteri Wilayah Persekutuan masih belum dilantik.
“Dua entiti ini adalah entiti penting dalam pembentukan Lembaga Pengampunan. Namun, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa hal tersebut tidak bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan. Kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah prerogatif baginda, dan dalam kes tertentu, tidak semestinya bergantung kepada nasihat Lembaga Pengampunan,” ujar beliau lagi.
Sementara itu Shah Zanuriman turut sama berpandangan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan sepatutnya menasihati Peguam Negara agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan integriti dan imej Pejabat Peguam Negara, bukannya menyalahkan Dr Akmal yang hanya mahu menegakkan keadilan dan prinsip undang-undang. – UMNO Online