Sistem Aduan Bersepadu Negeri Johor Inisiatif Penting, Tingkatkan Interaksi Rakyat Dan Pihak Berkuasa

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Exco Kerajaan Negeri Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pembangunan Sistem Aduan Bersepadu Negeri Johor adalah inisiatif penting dalam meningkatkan interaksi antara rakyat dan pihak berkuasa.

Susulan pengumuman Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam belanjawan Johor 2025 November lalu mengenainya, Mohd Jafni pada Ahad telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bagi gerak kerja terkini pembangunan sistem aduan itu.

“Sistem ini bertujuan untuk memudahkan rakyat menyampaikan maklumat, aduan dan cadangan kepada Kerajaan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan dengan lebih sistematik dan efisien.

“Sistem ini juga adalah penyelarasan dan kesepaduan kerjasama antara semua sistem sedia ada yang melibatkan semua pihak pelaksana.

“Kerajaan Negeri sedar aduan akan sentiasa ada dan untuk mencapai penyelesaian sempurna secara sekaligus bukanlah suatu perkara yang mudah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu dalam satu perkongsian di Facebook.

Jelas Mohd Jafni yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulai, Kerajaan Negeri akan berusaha menambah baik segala perkara secara berfasa bagi memastikan isu rakyat dapat diselesaikan.

Tambah Mohd Jafni lagi, mesyuarat tersebut dihadiri oleh Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sistem Maklumat Johor, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Johor dan Ketua Penolong Setiausaha Pejabat Pegawai Kewangan Negeri Johor.

Hadir sama Setiausaha Sulit Menteri Besar Johor, Pengurus Media dan Komunikasi Menteri Besar Johor, Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Unit Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Jabatan Kerja Raya Negeri Johor. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit