UMNO Beaufort Seru Raikan Semangat Perpaduan, Semai Toleransi Demi Keharmonian
BEAUFORT, 27 Dis – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menekankan pentingnya semangat perpaduan dan kesatuan dalam kalangan rakyat, meskipun berbeza agama, bangsa, dan ideologi politik.
Ujarnya, jangan jadikan perbezaan sebagai alasan sebaliknya setiap individu bertanggungjawab bagi menyemai semangat toleransi demi keharmonian semua.
“Perbezaan bukan penghalang untuk kita hidup bersama dalam suasana harmoni. Kita perlu terus memupuk sikap saling menghormati demi memastikan kesejahteraan dan kestabilan komuniti kita,” katanya kepada UMNO Online
Terdahulu beliau telah mengucapkan Selamat Hari Natal kepada semua yang menyambut perayaan ini serta Selamat Tahun Baru 2025 kepada seluruh masyarakat setempat.
Sempena sambutan ini, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada masyarakat setempat yang meraikan Hari Krismas.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort, Abdul Rahman Md Taib, bersama Ketua Penerangan, Awang Damit, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan UMNO terhadap kebajikan rakyat di kawasan itu.
Awang Aslee turut menegaskan bahawa UMNO akan terus komited dalam membantu dan menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang, selaras dengan prinsip perjuangan parti yang sentiasa dekat dengan rakyat.
Beliau berharap agar semangat perpaduan ini terus disemarakkan, bukan hanya pada musim perayaan tetapi sepanjang masa, demi kemajuan dan keharmonian bersama. – UMNO Online