Poster Fitnah: Pemuda UMNO Terengganu Buat Laporan Polis Di Seluruh Negeri

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu telah membuat laporan polis di seluruh negeri terhadap satu poster fitnah berkenaan membantah hukuman sebat pesalah syariah yang dimuatnaik di beberapa akaun Facebook.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera menafikan sekeras-kerasnya bahawa poster tersebut adalah daripada UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Hari ini Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu telah membuat laporan polis seluruh negeri berkenaan satu poster berniat jahat yang tular baru-baru ini di media sosial berkenaan membantah hukuman sebat oleh Mahkamah Syariah terhadap seorang pesalah syarie di negeri ini.

“Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa poster ini bukanlah daripada UMNO/BN. Kita berasa sangat kecewa apabila poster tersebut turut dimuat naik oleh beberapa akaun Facebook antaranya adalah Gema Biru, Nur Azam Idrus dan juga Sabri Mamat. Kita nak menafikan bahawa ketiga-tiga akaun ini juga bukanlah daripada UMNO/BN,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman Facebooknya pada Jumaat.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu turut berharap agar pihak berwajib melaksanakan siasatan terperinci dan mengenakan tindakan terhadap pelakunya.

“Kita berharap pihak berwajib dapat membuat siasatan penuh dan seterusnya mengenakan tindakan yang sewajarnya ke atas mereka ini. Saya kira fitnah ini sangat memecah-belahkan dan memberi satu tanggapan yang sangat negatif terhadap UMNO, lebih-lebih lagi ia melibatkan institusi kehakiman orang Islam.

“Kita daripada UMNO tidak pernah menolak dan membantah apa sahaja keputusan mahkamah syariah semata-mata untuk memartabatkan imej umat Islam itu sendiri.

“Kita berharap agar akaun-akaun peribadi tersebut memadamkan segera posting yang melibatkan poster-poster ini. Kami memberikan tempoh masa selama 24 jam bermula daripada sekarang. Sekiranya gagal berbuat demikian, maka tunggulah tindakan undang-undang daripada kami,” katanya lagi.

Pada Khamis, UMNO Online melaporkan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Mohd Hafiz Aziz menegaskan bahawa akaun Facebook ‘Gema Biru’ tidak mempunyai kaitan dan mewakili pendirian parti.

Ini kerana katanya, sudah beberapa kali pemilik akaun tersebut bertindak membuat hantaran yang bersifat jahat dan mengelirukan terhadap UMNO Negeri Terengganu.

Untuk rekod, akaun Facebook yang diberi nama Gema Biru itu telah membuat beberapa hantaran yang bersifat sensitif dan dilihat berselindung di sebalik logo parti.

Antara hantaran yang dimaksudkan seperti keberadaan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan, titah adendum mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beberapa isu sensitif lain.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti laman sosial UMNO/BN rasmi di peringkat pusat mahupun negeri bagi mendapatkan berita yang tepat dan sahih. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit