Krismas: Ahmad Zahid Ajak Rakyat Malaysia Bersama-sama Fahami Kepentingan Perpaduan
KUALA LUMPUR, 25 Dis – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama memahami kepentingan perpaduan, keharmonian, saling menghormati dan kebersamaan, pada musim perayaan ini.
Dalam ucapan sambutan Krismasnya, Ahmad Zahid menyatakan hasratnya agar perpaduan dapat berkembang di seluruh negara, mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama sebagai satu keluarga meraikan nilai-nilai bersama dan menghayati keindahan kepelbagaian negara kita.
“Saya berharap untuk Krismas kali ini agar perpaduan dapat berkembang di seluruh negara tercinta.
“Semoga musim kegembiraan ini merapatkan kita sebagai satu keluarga…Marilah kita memupuk semangat kebersamaan untuk mengeratkan ikatan kita dan berganding bahu ke arah membina sebuah masa hadapan Malaysia yang lebih baik dan makmur.
“Semoga perpaduan membawa kita ke arah yang lebih baik lagi, insya-Allah,” katanya dalam catatan Facebooknya pada Selasa. – BERNAMA