Sumbangan Bantuan Banjir Skuad Sayang Diteruskan Ke Terengganu
BUKIT BESI, 24 Dis – Wanita UMNO Malaysia melalui Kelab Skuad Sayang 3K telah menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada mangsa-mangsa banjir di Terengganu melalui Ketua-Ketua Wanita UMNO Bahagian.
Menurut Wanita UMNO Malaysia dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, sumbangan yang disampaikan merupakan tilam toto, bantal, beras, kotak makanan dan wang tunai hasil daripada sumbangan orang ramai dari seluruh negara.
Turut hadir dalam Majlis Penyampaian itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Haji Rozi Mamat, Setiausaha Perhubungan UMNO negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof, Ketua UMNO Bahagian Dungun Datuk Dr Din Adam, Ketua Wanita UMNO negeri To’ Puan Zaitun Mat Amin dan Ketua-Ketua Wanita UMNO Bahagian.
Jelas kenyataan itu lagi, bersama mengiringi Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ke Terengganu ialah Komandan Skuad Sayang 3k Hisham Suhaily Othman, Exco Wanita UMNO Malaysia Datuk Waheedah Faruz dan Timbalan Komandan Skuad Sayang 3K Kebajikan Rahayu Mohd Ishak.
Seterusnya, penghargaan turut diberikan kepada pimpinan UMNO negeri, ahli Wanita UMNO, sukarelawan dan Skuad Sayang atas sokongan penuh mereka.
“Wanita UMNO menekankan komitmen mereka dalam membantu mangsa bencana dengan menyediakan bantuan material dan moral.
“Skuad Sayang dilihat bukan sekadar pasukan sukarelawan, tetapi simbol kasih sayang dan solidariti masyarakat.
“Wanita UMNO juga menyeru mangsa banjir agar tabah, sambil menekankan peranan wanita sebagai tulang belakang keluarga dalam situasi mencabar ini. Kerjasama wanita dalam kerja kebajikan turut digalakkan bagi memupuk semangat perpaduan,” kata kenyataan itu lagi.
Wanita UMNO Malaysia turut berharap agar sumbangan ini dapat meringankan beban mangsa dan keadaan pulih seperti sediakala.
“Terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang-penyumbang dan sukarelawan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan usaha ini,” katanya. – UMNO ONLINE