Mesyuarat Jawatankuasa PEMANDU Majlis Ekonomi Bumiputera Pastikan Inisiatif, Pelaksanaan Berkesan

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi meneruskan usaha memperkasakan ekonomi bumiputera dengan mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa PEMANDU Majlis Ekonomi Bumiputera Bilangan 2 bagi tahun 2024.

“Mesyuarat telah mendengar dan meneliti tiga pembentangan yang meliputi pelbagai inisiatif strategik dan langkah pemantauan bagi memastikan pelaksanaan yang lebih berkesan.

“Pandangan dan maklum balas yang bernas daripada ahli mesyuarat juga telah memberikan banyak input untuk memperkemaskan lagi pelan tindakan yang dirancang,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam satu perkongsian di laman sosialnya.

Turut serta bersama ialah Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican; Ketua-ketua Setiausaha Kementerian; Pengerusi Kumpulan Sesi Libat Urus Kongres Ekonomi Bumiputera; serta wakil-wakil dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Menurut Ahmad Zahid lagi, hasil dapatan daripada mesyuarat tersebut akan dibawa ke Majlis Ekonomi Bumiputera untuk pertimbangan dan tindakan seterusnya.

“Semoga setiap keputusan yang diambil dapat memberikan impak positif kepada pembangunan ekonomi bumiputera sekali gus menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara secara keseluruhannya. Insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit