Tokoh Wanita Madani Iktiraf Sumbangan Wanita Terhadap Pembangunan Negeri Dan Negara

SEREMBAN, 24 Dis – Program Tokoh Wanita Madani adalah inisiatif yang amat bermakna dalam usaha mengiktiraf dan meraikan sumbangan wanita kepada pembangunan negeri dan negara.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, golongan wanita adalah tunjang keluarga, masyarakat dan negara.

“Oleh itu, program ini bukan sahaja menjadi medan pengiktirafan, tetapi juga sebagai dorongan kepada generasi akan datang untuk terus melakar kecemerlangan.

“Dengan tema ‘Madani’, ia selaras dengan aspirasi kita untuk memupuk nilai-nilai keadilan, kemanusiaan, dan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Seterusnya, Mohd Zaidy juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jemputan ke mesyuarat tersebut yang berlangsung di Wisma Negeri di sini.

“Saya percaya mesyuarat ini akan memberikan tumpuan kepada pelbagai aspek pelaksanaan program, termasuk pemilihan tokoh, format penganjuran, serta penglibatan komuniti.

“Adalah penting untuk memastikan program ini mencerminkan kesaksamaan dan ketelusan dalam memilih tokoh-tokoh yang benar-benar layak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Zaidy juga berharap mesyuarat tersebut berlangsung dengan jaya dan segala perancangan yang dirangka dapat direalisasikan dengan cemerlang.

“Semoga program Tokoh Wanita Madani Negeri Sembilan tahun 2024 ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa wanita di negeri kita,” katanya.

Tambah Mohd Zaidy lagi, sebagai ADUN Jeram Padang, beliau komited memberikan sokongan penuh kepada program ini.

“Saya juga menggalakkan komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang untuk turut serta dalam menjayakan acara ini, sama ada melalui pencalonan tokoh wanita atau penyertaan dalam program-program berkaitan,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit