Membina Negara Bangsa Progresif, Berhimpunlah Dengan Aman – Ir Aziz

KOTA KINABALU, 24 Dis – Bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Ir Abdul Aziz Julkarnain menyeru semua pihak, termasuk penganjur dan peserta perhimpunan agar meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan keadaan terkawal dan aman.

Ir Abdul Aziz yang juga Ketua Sekretariat War Room UMNO Sabah menegaskan Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah sentiasa menyokong usaha-usaha yang membawa kebaikan kepada negeri dan masa depan generasi muda.

“Usaha ini harus dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab dan tidak mengancam keharmonian masyarakat. Kedua-dua kumpulan yang ingin berhimpun harus bersikap matang dan mematuhi prinsip kesopanan dan kesusilaan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.

“Nilai ini adalah asas kepada perpaduan negara dan perlu dihayati oleh semua pihak, tanpa mengira latar belakang.

“Sebarang tindakan yang melanggar prinsip ini bukan sahaja mencemarkan tujuan murni perhimpunan, malah boleh mengancam keharmonian masyarakat,” katanya.

Seterusnya, Ir Abdul Aziz menyokong penuh kenyataan Pengerusi UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkenaan kepentingan menjaga keselamatan dan kestabilan negeri Sabah dalam sebarang perhimpunan yang dirancang, terutamanya melibatkan dua kumpulan yang dijangka berhimpun pada tarikh dan lokasi yang sama.

“Kebebasan bersuara adalah hak semua rakyat Malaysia, tetapi ia mesti diamalkan mengikut lunas undang-undang dan tidak bertentangan dengan Akta Hasutan. Perhimpunan harus berlangsung dengan penuh rasa tanggungjawab dan tidak mencetuskan provokasi.

“Semangat anak-anak muda yang ingin menyuarakan pandangan dan menunjukkan bahawa mereka juga adalah sebahagian daripada proses pembinaan negara bangsa.

“Masa depan negara adalah milik mereka, namun jalan ke arah masa depan yang lebih baik harus ditempuh dengan penuh hikmah dan kedamaian,” jelasnya.

Dalam masa yang sama beliau turut memohon kumpulan kedua yang ingin menunjukkan solidariti kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, agar memilih lokasi atau laluan perhimpunan yang berbeza bagi mengelakkan pertembungan fizikal antara kumpulan.

“Kumpulan kedua yang menunjukkan solidariti kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, agar memilih lokasi, laluan perhimpunan yang berbeza bagi mengelakkan pertembungan fizikal antara kumpulan.

“Ini penting untuk memastikan keharmonian dan mengelakkan sebarang pergeseran yang tidak diingini,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit