Perhimpunan Aman: Bung Moktar Gesa Pihak Berkuasa Teliti, Ambil Langkah Proaktif

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa pihak berkuasa meneliti dan mengambil langkah proaktif terhadap dua perhimpunan berbeza yang sedang dirancang dan akan berlangsung pada hari serta lokasi yang sama.

Ini kerana katanya, walaupun dirancang sebagai perhimpunan aman, ia berpotensi untuk mencetuskan ketegangan di antara dua kumpulan yang berhimpun dan membuka ruang kepada provokasi melampau.

“Saya ingin menegaskan bahawa sekiranya benar seperti ditularkan di media sosial dan sidang akhbar terdapat dua perhimpunan sedang dirancang akan berlangsung di kawasan serta masa yang sama… iaitu pada 31 Disember 2024 ini di hadapan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), perkara ini perlu diberikan perhatian serius walaupun ia dirancang sebagai perhimpunan aman.

“Situasi seperti ini berpotensi mencetuskan ketegangan di antara dua kumpulan berhimpun, sekaligus membuka ruang kepada provokasi melampau yang berkemungkinan boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Saya memahami bahawa kedua-dua perhimpunan tersebut mempunyai matlamat masing-masing dan membawa mesej penting untuk rakyat. Namun, semua pihak harus menilai dari setiap aspek, termasuk implikasi terhadap keselamatan serta kestabilan Negeri Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berpendapat bahawa pemisahan lokasi perhimpunan dan dialog bersama penganjur perlu dipertimbangkan untuk meningkatkan lagi langkah keselamatan.

“Antara langkah yang boleh dipertimbangkan adalah membenarkan salah satu pihak memindahkan lokasi perhimpunan ke kawasan berbeza demi mengelakkan pertembungan fizikal antara dua kumpulan.

“Kedua, pihak polis perlu mengadakan dialog dengan kedua-dua penganjur untuk memastikan semua pihak mematuhi garis panduan undang-undang berkaitan perhimpunan aman, seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Akhir sekali, menempatkan lebih ramai anggota keselamatan di kawasan perhimpunan untuk mengawal situasi dan memastikan kelancaran kedua-dua acara. Keselamatan rakyat Sabah adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO Negeri Sabah sentiasa berdiri teguh dalam menyokong sebarang usaha yang bertujuan untuk membawa kebaikan kepada ‘negeri di bawah bayu’ tersebut.

“Saya menyeru semua pihak terlibat untuk sentiasa menjaga keharmonian dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negeri.

“UMNO Sabah berdiri teguh dalam menyokong sebarang usaha yang bertujuan untuk membawa kebaikan kepada negeri ini, namun ia mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, selaras dengan undang-undang dan kepentingan awam,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit