Kerajaan Negeri Perak Berusaha Pastikan Hak Dan Kepentingan Masyarakat Orang Asli Terpelihara
IPOH, 23 Dis – Exco Kerajaan Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun hari ini menyambut baik kehadiran Penghulu-Penghulu Orang Asli di pejabatnya di sini bagi membincangkan isu-isu kritikal berkaitan hal ehwal masyarakat Orang Asli.
Ujar Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak itu, pertemuan tersebut juga untuk mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan hak dan kepentingan mereka terpelihara.
“Salah satu isu utama yang dibincangkan adalah status tanah yang diwartakan sebagai tanah Orang Asli. Pewartaan ini memerlukan cadangan pembentukan jawatankuasa khas wilayah tanah adat Orang Asli, yang ahlinya terdiri daripada pemimpin Orang Asli, jabatan dan agensi kerajaan, dan ahli-ahli akademia.
“Negeri Perak mencatatkan jumlah tanah Orang Asli yang diwartakan paling banyak berbanding negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.
“Pewartaan ini adalah langkah penting dalam usaha mengiktiraf dan melindungi tanah yang diduduki oleh masyarakat Orang Asli,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu dalam satu catatan di Facebook.
Seterusnya ulas Mohd Zolkafly, mesyuarat itu juga membincangkan cadangan untuk mempercepatkan skim perumahan B40 bagi generasi pertama dan generasi seterusnya masyarakat Orang Asli.
Cadangan itu tambahnya telah dibincangkan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Usaha ini bertujuan memastikan masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara dan dapat menikmati kemudahan perumahan yang selesa dan berkualiti,” katanya lagi.
Dilaporkan, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu, Mohd Zolkafly memaklumkan sebanyak 72 pewartaan kawasan yang melibatkan 99 Kampung Orang Asli (KOA) telah diwartakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Perak.
Katanya, pewartaan ini merupakan langkah penting dalam usaha mengiktiraf dan melindungi tanah yang didiami oleh masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Beliau berkata sebanyak 257 KOA di Perak telah diiktiraf oleh JAKOA, dan 30 KOA lain telah menerima kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri Perak untuk pewartaan manakala baki 128 KOA lagi masih dalam proses permohonan oleh JAKOA kepada Kerajaan Perak melalui Pejabat Tanah Daerah dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri.
Jelasnya juga, Perak merupakan negeri yang paling banyak mewartakan tanah, dengan jumlah 33,046.613 ekar (13373.48 hektar), sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan sumber tanah untuk pembangunan kegiatan ekonomi dan sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli. – UMNO ONLINE