Konvensyen BN Negeri Sembilan Strategi Inklusif Untuk Kesejahteraan Rakyat

SEREMBAN, 23 Dis – Konvensyen Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang berlangsung semalam menjadi platform penting untuk merancang strategi pembangunan yang lebih inklusif dan proaktif demi kebaikan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, yakin bahawa hasil perbincangan dan keputusan yang dicapai dalam konvensyen ini akan menjadi asas kukuh untuk memperkukuh agenda pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, kejayaan pelaksanaan konvensyen tersebut mencerminkan perpaduan dan kekuatan yang terus kukuh dalam BN.

“Saya amat yakin bahawa perbincangan yang diadakan akan menghasilkan strategi yang bukan sahaja relevan dengan kehendak semasa, tetapi juga lebih menyeluruh untuk kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” ujarnya kepada UMNO Online.

Jelas beliau, semangat kesatuan yang dipamerkan sepanjang konvensyen tersebut berlangsung telah memberikan harapan baharu bahawa BN akan terus berusaha dengan penuh dedikasi dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Semoga semangat kesatuan yang dipamerkan hari ini akan terus menjadi obor perjuangan BN untuk terus berkhidmat kepada rakyat dengan penuh dedikasi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan konvensyen ini. Semoga dengan semangat kesatuan yang terus menyala, kita dapat mara ke hadapan, membina Negeri Sembilan yang lebih maju dan sejahtera.” tambah beliau lagi.

Konvensyen BN Negeri Sembilan yang bertemakan ‘Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa’ tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut menyampaikan ucapan ialah Pengerusi Penyelaras BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Sebelum itu ucapan telah disampaikan oleh Pengerusi MIC Negeri Sembilan, P. Supramanium diikuti oleh Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Leaw Kok Chan dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong; Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi selain kepimpinan UMNO/BN Negeri Sembilan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit