Jalaluddin Zahir Komitmen Perkukuh UMNO/BN Negeri Sembilan, Terus Perkasa Parti

SEREMBAN, 23 Dis – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menzahirkan komitmen untuk memperkukuhkan UMNO di Negeri Sembilan dan memastikan Barisan Nasional (BN) akan mencapai keputusan yang lebih baik pada pilihan raya yang akan datang.

Ujarnya, peranan UMNO dalam kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan cukup penting.

“Alhamdulillah, telah lebih setahun UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Sembilan, dan apa yang saya boleh katakan, peranan UMNO dalam Kerajaan Negeri ketika ini cukup-cukup penting dan tidak timbul isu UMNO di’sideline’ di Negeri Sembilan,” katanya.

Jelasnya, lima kerusi Parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada di Negeri Sembilan akan terus dipertahankan.

“Kita sedang melakukan pelbagai usaha untuk mencapai keputusan yang baik pada PRU-16 (Pilihan Raya Umum Ke-16). Ini bukanlah usaha saya ataupun UMNO berseorangan, ia perlu didukung dan disokong sepenuhnya oleh MCA, MIC dan semua Friends of BN yang ada di Negeri Sembilan.

“Jika ada yang beranggapan bahawa BN di Negeri Sembilan hanya sekadar menumpang di dalam kerajaan, itu adalah satu pandangan yang tidak tepat. Tanpa BN, Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan ini tidak akan terbentuk,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Konvensyen BN Negeri Sembilan yang berlangsung di sini pada Ahad.

Beliau juga mengingatkan agar anggota parti tidak bersikap sambil lewa dalam melaksanakan tanggungjawab dalam parti.

“Kita tidak boleh sambil lewa lagi dalam menghadapi PRU-16. Saya risau jika BN gagal untuk bangkit semula pada PRU-16, keadaan BN akan lebih sukar di masa akan datang. Insya-Allah, sekali lagi saya zahirkan komitmen saya dan seluruh jentera UMNO Negeri Sembilan untuk bekerja kuat dan memberikan yang terbaik kepada BN pada pilihan raya yang akan datang.

“Wakil-wakil rakyat BN di Negeri Sembilan ini dan juga kepimpinan-kepimpinan UMNO di Bahagian-Bahagian, semua wajib aktif di media sosial dan jangan malu untuk tunjuk apa yang kita buat dan bantu rakyat.

“Rakyat perlu lihat siapa yang bantu mereka dan ada semasa mereka susah. Rakyat perlu ditunjukkan komitmen dan kesungguhan kita untuk membantu mereka.”

Konvensyen yang bertemakan ‘Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa’ ini disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO.

Turut bersama ialah Pengerusi Penyelaras BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO; Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit