Kerajaan Johor Komited Sediakan Rumah Mampu Milik Untuk Rakyat – Mohd Jafni
KULAI, 22 Dis — Seramai 396 pembeli Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Bandar Idaman Putra, Kulai, menerima kunci kediaman mereka dalam satu majlis penyerahan rasmi yang disempurnakan oleh Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Ujar Mohd Jafni, rumah kategori C berharga RM150,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi, lengkap dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, dibangunkan oleh pemaju IOI Properties yang komited menyediakan kediaman mampu milik di negeri ini.
Maklumnya, jumlah 396 unit ini merupakan sebahagian daripada 4,405 unit RMMJ yang disasarkan siap di Kulai menjelang 2026.
“Setakat November 2024, sebanyak 13,461 unit rumah mampu milik telah siap dibina, daripada sasaran keseluruhan 30,000 unit menjelang 2026 yang ditetapkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Johor untuk memenuhi keperluan rakyat bagi memiliki kediaman selesa dan mampu milik, dengan kerjasama erat bersama pemaju swasta.
“Usaha ini diharapkan dapat membantu lebih ramai rakyat Johor memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti.”
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Kulai, Fizwan Rashidi; Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, Datin Dr. Suhailizan Suliman; Setiausaha Majlis Perbandaran Kulai, Azmee Awang dan Ketua Pegawai Operasi IOI Properties, Lim Beng Yang. – UMNO Online