Kukuhkan Kerjasama, Jangan Beri Ruang Pihak Lawan ‘Tangguk Di Air Keruh’
KUALA LUMPUR, 27 Dis – Parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu memberi fokus untuk memperkukuhkan kerjasama dan tidak membiarkan sebarang isu yang menyentuh sensitiviti kepartian berlarutan.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, ini bagi mengelakkan pihak lawan menggunakan isu tersebut sebagai senjata politik mereka.
“Sebagai pemimpin UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, saya berpandangan ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mendepani masa hadapan, terutamanya menjelang tahun ketiga keberadaan UMNO dalam pentadbiran negara.
“Pertama, mengukuhkan kerjasama. Fokus kepada memperkukuh hubungan dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan. Ini termasuk dialog berterusan dan penyelesaian sebarang isu yang timbul secara bersama.
“Jangan biarkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti kedua-dua belah pihak dibiarkan berlarutan dalam tempoh lama kerana ia akan membuka ruang kepada pihak lawan ‘menangguk di air yang keruh’.
“Selain itu, para pemimpin UMNO hendaklah melibatkan diri dengan masyarakat secara lebih dekat untuk memahami keperluan dan harapan mereka. Ini boleh dilakukan melalui program turun padang dan sesi dialog di semua peringkat masyarakat terutama golongan muda, pekerja, peniaga, tidak terkecuali juga suri rumah,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, kerajaan perlu mengkaji semula dasar-dasar dan harus melaksanakannya dengan efektif serta inklusif.
“Pada saya, kerajaan perlu mengkaji semula dasar-dasar yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan dan memastikan pelaksanaannya lebih efektif serta inklusif. Penambahbaikan perlu dibuat berdasarkan maklum balas daripada rakyat.
“Pemimpin UMNO mesti menggunakan sepenuhnya pengalaman sewaktu mengemudi kerajaan dan negara selama lebih enam dekad yang lalu dalam menggerakkan Kerajaan Perpaduan selari dengan agenda parti.
“Di samping itu, pemimpin UMNO hendaklah terus memberikan komitmen terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara serta menjadi suara yang konstruktif dalam kerajaan,” katanya lagi.
Menurutnya, pelan ekonomi yang inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat juga perlu dirangka oleh kerajaan tanpa meminggirkan rakyat yang berada di kawasan luar bandar.
“Kerajaan juga perlu menyusun pelan pembangunan ekonomi inklusif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Ini termasuk program-program untuk membantu golongan yang terpinggir dan ‘start up’ di luar, pinggir serta kawasan bandar.
“Seterusnya, isu pendidikan begitu kritikal untuk ditangani oleh kerajaan pada masa sekarang memandangkan banyak polisi yang telah berubah dan masih di peringkat ‘premature’.
“Usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang memfokuskan kepada pendidikan serta latihan untuk meningkatkan kemahiran rakyat… di samping mempersiapkan generasi muda hadapi cabaran masa depan hendaklah diteruskan dengan lebih strategik,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau yakin bahawa sekiranya cadangan-cadangan pendekatan tersebut dapat dilaksanakan maka kepimpinan UMNO akan lebih terserlah untuk berhadapan cabaran bersama Kerajaan Perpaduan.
“Akhir sekali, menteri-menteri UMNO hendaklah lebih pro-aktif dengan menggalakkan pendekatan inovatif dalam pentadbiran dan perkhidmatan awam untuk meningkatkan efisiensi serta responsif terhadap keperluan rakyat.
“Dengan pendekatan-pendekatan ini, saya yakin pemimpin UMNO akan lebih terserlah dalam mendepani cabaran pada tahun-tahun mendatang bersama dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman