Dr Asyraf Terjah KPM Indera Mahkota, Kebersihan Kafe Antara Aduan Diterima
KUALA LUMPUR, 20 Dis – Kali ini Kolej Profesional MARA (KPM) Indera Mahkota menerima kejutan dengan kehadiran Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Rabu.
Setiausaha Agung UMNO itu menerusi kenyataan di Facebook berkata lawatan mengejut dan terjah ke KPM tersebut dilakukan ketika keberadaannya di Kuantan.
“Petang kelmarin berkebetulan ada urusan di Kuantan, saya ambil peluang untuk buat lawatan mengejut #Terjah ke KPM Indera Mahkota.
“Ini berikutan beberapa mesej dan komen di media sosial saya seperti TikTok, Instagram dan Facebook daripada ibu bapa dan pelajar yang mengadu beberapa isu seperti penggunaan wifi yang dihadkan sampai 11 malam, kebersihan kafe tertentu, keadaan fasiliti seperti tandas, asrama dan siar raya musolla.
“Alhamdulillah, pengarah pun kebetulan ada waktu saya menerjah, banyaklah perkara dapat diselesaikan,” katanya.
Katanya lagi, beberapa aduan daripada ibubapa dan pelajar telah pun dibawa kepada pengurusan MARA sebelum ini.
Dr Asyraf dalam pada itu turut memaklumkan secara kebetulan pada minggu lalu beliau telah meluluskan peruntukan tambah baik KPM Indera Mahkota sebanyak RM3.1 juta.
“Moga dengan pembaikan dan penambahbaikan fasiliti dan polisi baharu penggunaan wifi dapat dimanfaatkan pelajar untuk meningkatkan lagi prestasi kecemerlangan KPM Indera Mahkota,” ujar beliau.
Sementara itu menerusi hantaran video yang dikongsi, para pelajar KPM Indera Mahkota meluahkan keterujaan mereka menerima kehadiran Dr Asyraf dan memanfaatkan peluang tersebut untuk bergambar di samping memberikan aduan berkenaan prasarana di kolej tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, Dr Asyraf turut sama meluahkan kekecewaan beliau selepas para pelajar membawanya ke salah satu cafe di kolej berkenaan yang tidak bersih.
“Ya saya sendiri amat kecewa dengan keadaan dapur salah sebuah cafe di sini. Kalau tidak kerana wakil pelajar maklumkan dan bawa saya ke sini, pasti keadaan ini akan berterusan macam ni. Saya sudah arahkan pengarah KPM Indera Mahkota untuk selesaikan segera dalam tempoh tiga bulan ni,” katanya. – UMNO Online