Pelbagai Langkah Susulan Jayakan SEGiM, Manfaatkan Industri Gig Di Negara Ini – Sharkar

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja & GiG Ekonomi UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata komitmen kerajaan dalam menjayakan penubuhan Suruhanjaya Gig Ekonomi Malaysia (SEGiM) diharap dapat membantu mereka yang terlibat dalam industri berkenaan.

Menurut beliau pelbagai langkah susulan yang diambil oleh pihak kerajaan termasuklah semalam melibatkan perjumpaan bersama pihak Kementerian Digital membuktikan keseriusan bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

Beliau yang turut hadir pada taklimat itu seterusnya menambah komitmen daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO sendiri sudah pasti ingin melihat apa yang dicetus dan diperjuangkan sebelum ini bakal membela hak dan nasib pekerja industri Gig di negara ini.

“Sudah pasti pelbagai perkara perlu diperhalusi dan pelbagai perkara yang melibatkan banyak pihak berkepentingan perlu diadakan perbincangan dan inilah antara langkah yang diambil oleh pihak kerajaan termasuklah  daripada Sekretariat Kesatuan Sekerja & GiG Ekonomi UMNO Malaysia.

“Kita juga turut mengambil langkah yang perlu dalam usaha mendapatkanh suara-suara daripada penggiat industri berkenaan agar apa yang diperjuangkan benar-benar mencapai sasaran khususnya membela kumpulan penggiat ekonomi berkenaan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memperkukuhkan kedudukan pekerja gig di Malaysia melalui penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGIM).

Ujarnya yang juga Presiden UMNO, langkah berkenaan dilaksana dengan mengadakan perbincangan khas bersama Kementerian Digital yang dihadiri menterinya, Gobind Singh Deo; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Norison Ramli; serta Pengerusi Sekretariat Komuniti Gig Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Sharkar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO seterusnya menambah SEGIM bukanlah sekadar cakap kosong mahupun retorik semata-mata kerana langkah dan usaha ke arah realiti yang sebenar menampakkan hasil hari ini.

Tambahnya lagi kerajaan sudah pasti ingin memastikan usaha tersebut benar-benar membantu rakyat dan inilah perjuangan dan komitmen Sekretariat Kesatuan Sekerja & GiG Ekonomi UMNO.

“Insya-Allah… kami akan terus berusaha dan beriktiar sebaiknya bagi memastikan penubuhan SEGIM kelak. Berilah kami kepercayaan dan mereka yang bergiat dalam industri ini akan mendapat perlindungan dan pembelaan sewajarnya apabila SEGIM ini diumumkan penubuhannya nanti,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit