Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan Contoh Terbaik – ADUN Lenggeng
KUALA LUMPUR, 20 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menzahirkan keyakinan terhadap prestasi tinggi Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan yang disifatkan berjalan lancar dan hampir tiada isu besar berbanding negeri lain.
Jelasnya, kerjasama erat antara UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan menunjukkan model Kerajaan Perpaduan terbaik yang wajar dicontohi.
“UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan bersama-sama PH di Negeri Sembilan sangat berjalan lancar dan bagus. Hampir tiada isu langsung berbanding dengan negeri lain. Alhamdulillah… negeri ini boleh dijadikan contoh Kerajaan Perpaduan yang terbaik.
“Sumbangan idea dan ADUN UMNO/BN turut memperkukuhkan pentadbiran kerajaan negeri. Perbincangan berterusan antara Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun turut menyumbang kepada kestabilan pentadbiran.
“Kerajaan Perpaduan di negeri ini mendapat limpah rahmat Allah SWT hasil kerjasama padu antara semua pihak,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Mengulas mengenai bajet Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan, beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban memuji langkah yang menyentuh kepentingan rakyat.
“Bajet Kerajaan Perpaduan bagi Negeri Sembilan telah menyentuh kenikmatan untuk rakyat-rakyat seperti memberi sumbangan kewangan kepada warga emas sebanyak RM200 sebulan, belia-belia yang mahu mendirikan rumahtangga, kerajaan negeri memberi sumbangan RM500 dan sebagainya,” katanya lagi.
Asna harap pendekatan ini dapat terus diperkasakan untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Menurutnya lagi, UMNO kekal sebagai satu-satunya wadah politik sejak zaman kemerdekaan yang konsisten memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu melalui falsafah ‘Agama, Bangsa, dan Tanah Air’ (ABATA).
“UMNO semestinya terus mempertahankan agama, bangsa Melayu, dan tanah air. Selagi falsafah ini menjadi keutamaan, inilah dasar yang perlu dipertahankan,” tegasnya.
“Perjuangan ini adalah tunjang kekuatan UMNO dalam memastikan kepentingan agama dan bangsa terus terpelihara,” ujarnya. – UMNO Online