‘Dari Rakyat Kepada Rakyat’ Manifestasi Khidmat Bakti UMNO Beaufort Terus Aktif

BEAUFORT, 19 Dis – Dalam memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat terus terbela, prinsip ‘dari rakyat kepada rakyat’ terus diaplikasi sebagai teras perjuangan dan landasan khidmat bakti UMNO.

UMNO Bahagian Beaufort yang diketuai oleh Datuk Awang Aslee Lakat berkata pendekatan ini menjadi simbol keprihatinan dan komitmen terhadap pembangunan komuniti setempat.

“Konsep ‘dari rakyat kepada rakyat’ membawa maksud bahawa suara rakyat harus didengar dan dijadikan asas dalam merangka sebarang dasar atau program pembangunan dengan memahami realiti kehidupan mereka. Ia menekankan betapa pentingnya kita sentiasa berpijak di bumi realiti dan memahami keperluan masyarakat yang diwakili,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau, perjuangan parti bukan sekadar retorik politik, tetapi suatu tanggungjawab yang datang dengan amanah besar.

“UMNO komited untuk menjadi penghubung antara aspirasi rakyat dan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya yang terus mengaktifkan gerak kerja turun padang dan menyantuni masyarakat setempat melalui Biro Kebajikan UMNO Bahagian Beaufort.

Katanya, antara fokus utama khidmat bakti ini termasuk sokongan dari segi moral dan memperjuangkan bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan.

“Pendekatan ini juga mencerminkan semangat inklusiviti, iaitu setiap rakyat, tanpa mengira latar belakang, turut menjadi sebahagian daripada proses keberadaan UMNO dalam arus perjuangan negara. Ini memastikan keputusan yang dibuat selaras dengan keperluan sebenar masyarakat.

“Dalam landskap politik semasa yang sentiasa berubah, prinsip ‘dari rakyat kepada rakyat’ terus menjadi tunjang kekuatan UMNO sebagai parti yang mendengar dan bertindak untuk kesejahteraan masyarakat.”

Awang Aslee yakin bahawa dengan semangat khidmat bakti yang diperjuangkan maka ia akan diperluas ke seluruh pelosok negara, menjadikan UMNO bukan sahaja sebagai parti politik, tetapi sebagai rakan perjuangan rakyat yang setia.

Sehubungan itu beliau juga menzahirkan penghargaan dan berterima kasih juga kepada ahli jawatankuasanya yang sentiasa muafakat melaksanakan apa-apa inisiatif atas nama UMNO demi rakyat.

Terdahulu, UMNO Beaufort melalui Ketua Wanitanya, Juriffah Safflie , Ketua Wanita telah menyerahkan sumbangan kepada Ramlan Amat selaku YDP PIBG SK Berangkok sempena Lawatan Sambil Belajar ke The Cube Family, Bee Fun and Playsmarts Kota Kinabalu.

Sebelum itu UMNO bahagian terbabit juga telah mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasanya bagi memperhalusi perancangan dan gerak kerja yang telah dirangka selain terus mengaktifkan usaha turun padang bersama masyarakat setempat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit