Kerajaan Perpaduan: Pelbagai Kejayaan Dicapai, Prestasi Menteri UMNO/BN Jadi Nilai Tambah

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Pelbagai kejayaan dapat dicapai dan prestasi menteri serta timbalan dari UMNO/Barisan Nasional (BN) menjadi nilai tambah sepanjang dua tahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, tekad dan komitmen Kerajaan Perpaduan mentadbir telah memberikan impak positif kepada negara.

“Pada pandangan saya, dua tahun Kerajaan Perpaduan yang tertubuh sejak November 2022 telah pun mencapai banyak kejayaan.

“Meskipun ada banyak perkara yang mungkin belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, tetapi tekad dan juga komitmen diberikan kerajaan dalam beberapa perkara penting termasuklah ‘governance’ iaitu tatakelola, pemulihan ekonomi serta pengukuhan nilai ringgit telah memberikan impak positif kepada negara,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, UMNO/BN telah diberikan peluang untuk memegang portfolio-portfolio yang dekat dengan rakyat ketika mentadbir bersama Kerajaan Perpaduan.

“Terdapat beberapa portfolio menteri dan timbalan menteri menempatkan kepimpinan tertinggi atau ahli-ahli Parlimen UMNO, khususnya di bawah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Ini adalah antara kementerian yang akan menjaga kesejahteraan dan juga keperluan rakyat di kawasan luar bandar serta beberapa wilayah-wilayah termasuk badan-badan berkanun di bawah KKDW. Antaranya RISDA, FELCRA dan lain-lain yang turut memberikan peranan penting dalam mensejahterakan rakyat.

“Begitu juga dengan peranan kementerian-kementerian lain yang diterajui pemimpin UMNO/BN seperti Kementerian Luar Negeri di bawah Datuk Seri Mohamad Hasan, Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah Datuk Seri Zambry Abd Kadir… yang mendekati dan juga memahami keperluan-keperluan mahasiswa di seluruh negara, baik di peringkat IPTA mahupun IPTS,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa peranan dimainkan oleh para pemimpin UMNO yang menerajui beberapa institusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut menunjukkan prestasi cemerlang.

“Kita juga dapat melihat peranan yang dimainkan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri Undang-Undang. Ini dapat dilihat melalui perbahasan di peringkat Parlimen baru-baru ini melibatkan pindaan dan perbahasan Rang Undang-Undang.

“…dan peranan pimpinan-pemimpin lain seperti Datuk Dr Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA, yang bukan sahaja melihat MARA sebagai institusi yang menjaga kesejahteraan bumiputera. Tetapi, beliau juga melihat secara menyeluruh komponen-komponen yang ada di dalam MARA tersebut daripada segi keusahawanan, pendidikan dan juga yang lain-lain.

“Begitu juga dengan menteri-menteri lain yang memegang portfolio dalam Kerajaan Madani ataupun Perpaduan pada hari ini. Terbukti peranan dimainkan oleh para pemimpin UMNO/BN telah memberi nilai tambah dalam melicinkan lagi pentadbiran kerajaan,” katanya lagi.

Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan pasca-Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu telah mencapai usia dua tahun pada November 2022 selepas tiada satu parti pun mendapat kemenangan majoriti.

Atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, UMNO/BN dan Pakatan Harapan (PH) mengenepikan segala sengketa berabad untuk membentuk kerajaan selepas Perikatan Nasional (BN) dengan angkuh menolak tawaran tersebut.

Untuk rekod, UMNO/BN telah diberikan amanah untuk mengemudi enam kementerian iaitu KKDW; Undang-Undang dan Reformasi Institusi; Luar Negeri; Pertahanan; Perladangan dan Komoditi serta Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit