Malaysia Tegaskan Pendirian Melalui Nota Bantahan Diplomatik – Mohamad Alamin
KUALA LUMPUR, 19 Dis – Nota Diplomatik merupakan saluran komunikasi rasmi antara dua negara, demikian tegas Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin.
Jelasnya, segala bantahan yang dibuat melalui saluran ini secara langsung menyatakan pendirian rasmi negara.
“Nota Bantahan Diplomatik secara khususnya merupakan rekod dan dokumen yang akan membuktikan bahawa Malaysia telah mengambil tindakan melalui saluran diplomatik secara konsisten bagi menyatakan bantahannya dan menegaskan pendiriannya.
“Nota Bantahan Diplomatik boleh digunakan sebagai dokumen bukti dalam proses perundangan antarabangsa sekiranya terdapat sebarang proses ‘adjudikasi’ pihak ketiga di masa hadapan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan dari Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan adakah Kementerian akan mengambil tindakan yang tegas selain dari Nota Bantahan terhadap Vietnam yang sebelum ini menuntut kawasan perairan milik negara terutama di Laut Borneo Utara seolah-olah ada cubaan untuk menganggu kesejahteraan dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Mengulas lanjut Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata Kerajaan Malaysia sentiasa tegas dan komited untuk mempertahankan kedaulatan negara.
“Hak-hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia di dalam kawasan maritimnya berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979, selari dengan undang-undang antarabangsa termasuklah Konvensyen Undang-Undang Laut, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) 1982.
“Diplomasi merupakan mekanisme pertahanan negara, isu-isu berkepentingan negara diuruskan dengan aman melalui komunikasi serta rundingan bagi memelihara hubungan dua hala di antara Malaysia dan negara-negara lain. Kerajaan juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat ancaman kepada kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia.
“Pendirian Malaysia mengenai isu di Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten. Semua pertikaian dan penyelesaian isu-isu berhubung Laut China Selatan hendaklah berdasarkan undang-undang antarabangsa dan UNCLOS 1982,” katanya lagi.
Beliau juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut menegaskan pendirian Malaysia dalam setiap pertemuan dengan negara-negara luar di pelbagai peringkat, dari peringkat kumpulan kerja sehinggalah ke peringkat pemimpin negara.
“Malaysia dan Vietnam sentiasa berbincang dan berunding mengenai isu-isu berkaitan kedua-dua negara melalui platform dua hala sedia ada, antara yang utama, ‘Senior Official Strategic Dialogue’ di peringkat Pegawai Kanan dan oint Commission Meeting’ di peringkat Menteri Luar.
“Menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.
“Tindakan-tindakan yang diambil termasuklah rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan di dalam kawasan maritim Malaysia bagi mempamerkan kehadiran, ‘show of presence’ di kawasan tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, semua agensi penguatkuasa dan pemantauan maritim negara amat komited dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia adalah kekal terpelihara. – UMNO Online