Musibah Banjir: UMNO Sentiasa Bantu Rakyat, Ketepikan Jurang Politik – Mohd Zaidi

KUALA LUMPUR, 21 Dis – UMNO sentiasa cakna dan bersedia membantu rakyat sekiranya dilanda musibah meskipun mempunyai jurang perbezaan politik.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, penyerahan tugas sebagai Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan yakin akan kebolehan parti dalam menguruskannya.

“UMNO dikenali sebagai sebuah parti yang sentiasa cakna akan permasalahan rakyat tidak kira waktu menjadi pembangkang, separa kerajaan… apatah lagi sewaktu kita memerintah dulu.

“Pentaklifan tugas sebagai Pengerusi NADMA kepada Presiden UMNO jelas menunjukkan keyakinan Kerajaan Perpaduan kepada UMNO secara keseluruhannya dalam menggerakkan jentera membantu mangsa-mangsa bencana termasuk banjir seluruh negara,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi turut menegaskan bahawa UMNO akan sentiasa menjadi juara rakyat dan akan menghulurkan bantuan pada bila-bila masa sahaja.

“Pada waktu ini pun kita melihat bagaimana UMNO disemua peringkat bahagian telah menggerakkan jentera untuk membantu mangsa banjir di kawasan masing-masing.

“Malah apa yang membanggakan apabila jentera dari negeri yang tidak terjejas dengan banjir juga turut sama menghantar bantuan ke negeri dan kawasan yang ditimpa musibah dalam pelbagai bentuk bantuan tanpa mengira fahaman politik mereka.

“Saya percaya bukan sahaja gelombang ketiga tetapi pada bila-bila masa sahaja musibah menimpa, UMNO akan tetap menjadi juara rakyat,” katanya lagi.

Untuk rekod, selepas musibah banjir melanda beberapa buah negeri seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah, UMNO giat menghantar jentera dari segenap peringkat untuk menghulurkan bantuan.

Kejadian banjir tersebut telah berlaku bermula pada November lalu disebabkan musim peralihan monsun timur laut. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit