Tatakelola Yang Baik Tunjang Pentadbiran Cekap Dan Berkesan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya tatakelola yang baik merupakan tunjang kepada pentadbiran yang cekap dan berkesan.

Ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, ia bukan sahaja penting untuk memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan, tetapi juga untuk meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya, melalui usaha bersama yang melibatkan pelbagai Kementerian dan Agensi, kita mampu mencipta sebuah ekosistem pentadbiran yang lebih baik, berintegriti dan mampan untuk generasi masa hadapan. Insya-Allah,” katanya dalam satu catatan di laman Facebook dan akaun X.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berkongsi beliau telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional Siri 5, Bil.4/2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu dalam platform media sosialnya, Ahmad Zahid telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh di pejabatnya di Putrajaya.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Gejala Dadah, pertemuan ini telah memberikan peluang untuk kami berbincang secara mendalam mengenai usaha bersepadu yang sedang dan akan dilaksanakan bagi menangani isu penagihan dadah di negara kita.

“Selain itu, perhatian turut diberikan dalam meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai bahaya dadah serta pentingnya pendidikan dalam mendidik generasi muda agar menjauhi ancaman ini,” katanya lagi.

Tambah Ahmad Zahid, gejala dadah bukan sahaja merosakkan individu, malah memberi kesan besar kepada keluarga, masyarakat dan masa depan negara.

“Oleh itu, usaha menangani isu ini memerlukan komitmen bersama dari pelbagai pihak sama ada Kerajaan, Agensi berkaitan, pertubuhan masyarakat, mahupun individu.

“Saya percaya, peranan AADK yang berteraskan pendekatan holistik sangat penting dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat sokongan yang diperlukan untuk bebas daripada ancaman dadah,” ujarnya.

Seterusnya Ahmad Zahid menekankan bahawa sebagai sebuah negara yang prihatin, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak bersama untuk terus melindungi generasi muda daripada terjebak dalam gejala ini.

“Insya-Allah, dengan usaha dan sokongan daripada semua pihak, kita mampu membawa perubahan yang positif dan mengukuhkan masa depan masyarakat bebas dadah di Malaysia,” katanya. – UMNO ONLINE


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit