Kedah ‘Swing State’: BN Terus Berjuang Kembalikan Sokongan Rakyat – Nazifuddin Najib
MERBOK, 18 Dis – Kedah adalah ‘swing state’ yang sangat penting dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang besar untuk merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang, kata Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.
Nazifuddin yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia turut mengingatkan ahli parti agar tidak berputus asa bagi mengembalikan sokongan rakyat meskipun keputusan pilihan raya lalu tidak memihak kepada BN.
“Jangan rasa putus asa… BN ada peluang lagi. BN hanya kalah pada pilihan raya lalu dan akan datang ada peluang untuk menang kembali kerusi-kerusi yang ada. Ini adalah satu iltizam dan seharusnya ahli parti terus berkerja keras bagi hadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Berkaitan dengan kesatuan BN dan Pakatan Harapan (PH) terdapat kekuatan apabila bergabung bersama-sama untuk menyokong calon-calon dari kedua-dua gabungan terbesar ini. Sememangnya apabila digabungkan adanya kekuatan melebihi dari Perikatan Nasional (PN).
“Perbalahan yang lepas harus diketepikan dan fokus ke depan terutamanya calon-calon yang baharu. Peluang yang diberikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terutamanya calon-calon untuk Wanita, Pemuda dan Puteri serta rakan-rakan dari komponen BN perlu dimanfaat,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Seterusnya Nazifuddin percaya bahawa rekod prestasi BN yang hebat selama ini akan terus memberi impak positif kepada rakyat.
“Saya percaya ‘track record’ BN cukup hebat. Walaupun usia BN ke-50 tahun tapi pengalaman dan sejarah telah terbukti sepanjang pentadbiran dalam kerajaan memberikan impak yang positif kepada pembangunan, ekonomi, kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan sebagainya.
“BN sudah lama bersama dengan kerajaan dalam membangunkan bermacam-macam aspirasi rakyat terutamanya bagi negeri Kedah dan juga seluruh negara. Ia sangat penting bagi parti ini untuk terus berusaha, bangkit kembali supaya parti ini akan terus membantu negara pada masa kini dan seterusnya akan datang,” katanya lagi.
Untuk rekod, BN telah menganjurkan sambutan Jubli Emas bersempena ulang tahun ke-50 tahun parti itu. Ia menjadi platform untuk memperkukuhkan perpaduan dalam parti dan meraikan sumbangan parti terhadap pembangunan negara. – UMNO Online