Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 Dapat Sokongan Padu Daripada Organisasi Utama – Reezal
KUALA LUMPUR, 16 Dis – Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024), yang akan berlangsung di sini dari 17-19 Dis mendapat sokongan padu daripada penaja dan rakan strategik utama.
Sokongan ini telah membantu meletakkan MCS 2024, anjuran Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), sebagai platform utama untuk menggalak perdagangan, pelaburan dan inovasi.
Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penaja dan rakan strategik ini memainkan peranan penting menjadikan sidang kemuncak tersebut sebagai platform utama untuk menjalin kerjasama antarabangsa, mengukuhkan peranan Malaysia sebagai destinasi utama untuk acara perniagaan dan pintu masuk ke ASEAN.
“Kami berterima kasih kepada semua penaja dan rakan strategik kami yang memberi sokongan amat bermakna kepada sidang kemuncak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penaja rasmi MCS 2024 ialah Huawei Technologies Malaysia (Penaja Emas), Petronas (Penaja Perak), dan Berjaya Food Bhd serta DSR Taiko Bhd (Penaja Korporat).
Sidang kemuncak tersebut, program ekonomi utama yang diadakan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, turut disokong oleh Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
Rakan strategik lain termasuk syarikat penerbangan rasmi AirAsia, venue rasmi Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), dan rakan media rasmi Bernama, Star Media Group dan Sin Chew Daily.
Pengerusi eksekutif Qube Integrated Malaysia, Richard Teo, yang juga merupakan pengerusi penganjur MCS 2024, menyifatkan sidang kemuncak itu sebagai sesi pertemuan untuk pertukaran idea dan budaya serta berkongsi pengetahuan yang bertujuan memberi inspirasi kepada generasi peneraju perniagaan dan pemikiran akan datang untuk terus membentuk hubungan ASEAN-China.
“Penglibatan penaja dan rakan strategik kami penting untuk merealisasikan visi utama ini.
“Sokongan padu daripada syarikat terkemuka ini mencerminkan komitmen sektor swasta untuk meningkatkan kerjasama serantau dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
MCS 2024, bertemakan “Prosperity Beyond 50”, akan menampilkan Ekspo Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa selama tiga hari, Persidangan Kepimpinan selama dua hari dan beberapa siri forum khas.
“Program ini akan mengetengahkan lebih 20 sektor utama, termasuk tenaga boleh baharu, teknologi digital, mobiliti elektrik dan pembuatan canggih,” kata penganjur.
Ekspo itu juga akan menampilkan pempamer pelbagai sektor dari Malaysia dan China yang mempamerkan teknologi dan inovasi termaju.
Untuk memaksimumkan hasil perdagangan daripada sidang kemuncak itu, MATRADE akan menganjurkan sesi pemadanan perniagaan di bawah Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), menghubungkan kira-kira 200 pengeksport Malaysia dengan hampir 100 pembeli asing dari 12 negara melalui sejumlah 610 mesyuarat perniagaan di MCS 2024.
MCS 2024 berteraskan kepada lima tonggak, setiap satu mencerminkan industri yang menumpukan kepada masa depan: Teknologi Masa Depan, Pertumbuhan Masa Depan, Mobiliti dan Kesalinghubungan Masa Depan, Pengalaman dan Pengetahuan Masa Depan serta Peluang Masa Depan. – BERNAMA