Laporan RCI Batu Puteh: Pengkhianatan Yang Mengorbankan Kedaulatan Negara
PENGERANG, 16 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat merangkap Exco Kerajaan Negeri Johor, Aznan Tamin menzahirkan rasa penuh dukacita seluruh rakyat Pengerang dan kekesalan yang teramat mendalam dengan terlepasnya Pulau Batu Puteh.
Jelasnya, sebagai anak watan Pengerang selama ini meletakkan harapan besar terhadap usaha mengembalikan kedaulatan Batu Puteh, namun ia telah dikhianati sewenang-wenangnya.
“Perjuangan membela dan mempertahankan kedaulatan Malaysia telah diakhiri dengan tindakan seorang Perdana Menteri yang menyerahkan negara ke tangan asing dengan sewenang-wenangnya. Dengan terlepasnya Batu Puteh, yang hilang dan terkorban bukan sekadar sebuah batuan, tetapi kedaulatan ibu pertiwi buat selama-lamanya.
“Laporan yang telah lama dinantikan oleh rakyat Pengerang ini mendedahkan bahawa pada tahun 2018, Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk menarik semula permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, meskipun terdapat bukti-bukti baharu yang memperkukuhkan tuntutan Malaysia ke atas Batu Puteh.
“Apa yang lebih mendukacitakan, keputusan sebesar ini telah dibuat secara unilateral atau bersendirian oleh seorang Perdana Menteri tanpa melalui proses perbincangan yang wajar dengan Jemaah Menteri terlebih dahulu, mengabaikan nasihat pakar perundangan dan fakta sejarah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor itu menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Aznan yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menegaskan Kerajaan Persekutuan perlu memikul tanggungjawab moral untuk mengambil tindakan tegas terhadap isu yang dianggap sebagai pengkhianat terhadap kedaulatan negara.
“Seluruh rakyat Pengerang menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan memikul pertanggungjawaban moral untuk menyampaikan mesej yang jelas bahawa ini merupakan suatu pengkhianatan ke atas kedaulatan negara yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Kami dengan sesungguhnya menggesa agar semua individu yang terlibat dalam keputusan tersebut dipertanggungjawabkan dan jika disyaki bersalah, mereka wajib dihadapkan ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi,” tegasnya. – UMNO Online